Saturday, August 20, 2011

Rally Bersih tidak sama rally Totenham

Posted by admin on August 20th, 2011

Aspan Alias

Muhyiddin Yassin telah menyamakan rally Bersih sama seperti apa yang berlaku di Britain 2 minggu lepas dalam mana rakyat yang tinggal di kawasan yang melata seperti di Tottenham, Brixton (gambar) dan beberapa tempat jenayah lain melakukan “looting” dan mengancam keselamatan masyarakat di sana.Dalam kejadian di Tottenham itu beberapa orang anggota polis telah cedera. Saya pun sudah lupa berapa tempat lagi yang amok yang di lakukan oleh pemuda-pemuda di Britain itu. Beberapa buah bangunan dan kereta telah dibakar dalam kejadian itu.

Untuk menyamakan apa yang berlaku di London dengan apa yang di lakukan oleh Bersih adalah tidak berasas dan tidak mempunyai kebijaksanaan langsung. Ianya akan hanya menunjukan sikap Muhyiddin untuk memperbudak-budakan kita semua sahaja.

Walauipun beliau seorang Timbalan Perdana Menteri tetapi bila keluar kenyataan seperti ini dari mulut dan pemikiran beliau, maka beliau telah merendahkan mertabat beliau kepada hanya seperti kutu jalanan berfikir.

Jika itu adalah keyakinan Muhyiddin sendiri maka Muhyiddin boleh kita anggap sebagai seorang yang tidak bijak menilai keadaan dan suasana kedua-duanya kejadian itu, iaitu rally anjuran Bersih dan pengganas di London itu. Bagi saya Muhyiddin menganggap kedua-dua kejadian itu adalah sama nilainya ialah untuk menutupi segala kesilapan kerajaan dalam mengendalikan rally anjuran Bersih itu.

Inilah masalahnya pemimpin-pemimpin kita. Mereka sudah menjadi kebiasaan cuba merperbodohkan orang ramai seolah-olah orang ramai di bawah ini semuanya adalah dari gulungan “tolol” yang tidak pandai sedikit pun untuk membuat penilaian terhadap sesuatu yang berlaku.

Sikap dan kenyataan Muhyiddin itu hanya akan menjadi “self defeating” bagi beliau dan beliau tidak boleh menyalahkan sesiapa jika orang yang mempunyai pemikiran memandang beliau sabagai seorang politikus murahan dan tidak bernilai.

Tottenham merupakan kawasan yang di diami oleh masyarakat yang kebanyakanya miskin dan tempat itu adalah tempat di mana berlakunya jenayah yang banyak. Begitu juga di Brixton serta beberapa tempat dan daerah lain yang dihuni oleh masyarakat yang agak melata jika di bandingkan dengan daerah dan kawasan sebelah barat kotaraya Metropolitan London.

Berjalan kesaorangan di kawasan Tottenham itu tidak begitu selesa kerana tempat itu terkenal dengan kawasan yang banyak kejadian jenayah. Begitu juga di kawasan Brixton, Barking dan sebagainya.

Huru hara yang berlaku yang bermula di Tottenham ini telah dilakukan oleh penjenayah yang menembak dan membakar bangunan dan kenderaan kerana memprotes di atas kematian rakan mereka di tangan polis.

Dalam masa 24 jam huru hara telah berlaku di tempat lain di sekitar London seperfti di Enfield dan sebagainya. Yang melakukan huru hara ini adalah dari gulungan yang melata dan miskin dan mereka ini adalah dari gulungan yang tidak mampu mendewasakan diri mereka untuk hidup menempa kemajuan dan mereka adalah dari gulungan yang tertinggal dalam serba serbinya.

Rally anjuran Bersih baru-baru adalah jauh kelainannya. Rally Bersih di anjurkan oleh kumpulan 62 Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penganjur telah memohon kebenaran untuk berjalan secara aman tetapi dipermain-mainkan oleh pihak berkuasa. Bersih merupakan isu transformasi dalam sistem pilihanraya yang ramai beranggapan belum jelas kebenaran dan ketelusannya.

Pihak penganjur telah mengadap Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan telah berunding dengan pihak pemerintah walaupun akhirnya rundingan itu gagal.

Jadi jika seorang Timbalan Perdana Menteri boleh menyamakan “hooliganism” di Britain dan Rally anjuran Bersih itu maka saya tidak dapat hendak meletakan Muhyiddin ini sebagai apa. Kalaulah pemimpin tertinggi kerajaan boleh membuat penialaian dan intrepetasi sebegini maka semakin terbuktilah kekurangan keupayaan beliau untuk berfikir

Cara berfikir sebeginilah yang kadang-kadang rakyat merasa muak kerana mereka merasakan seolah-olah mereka dipermainkan dengan perbahasan yang membosankan. Saya berharap pemimpin tertinggi Umno yang lain tidak meletakan diri mereka begitu rendah pemikiran kerana kata-kata itu mudah di nilai oleh rakyat yang ramai.

Dengan kenyataan Muhyiddin itu sekarang rakyat sudah yakin yang pihak pemerintah telah merasakan dan mengakui yang rally anjuran Bersih itu telah menempa kejayaan besar yang menyebabkan pemimpin pemerintah hari ini tidak dapat lagi melupakan isu walaupun rally itu sudah lama berlalu. Ramai di antara pemimpin kita masih lagi bercakap merapu dan merepek tentang isu rally anjuran Bersih ini seolah-olah seperti berjalan dijadikan tongkat dan jika tidur dijadikan bantal.

Saya mencadangkan supaya pihak kerajaan tidak lagi menyebut isu ini kerana ianya akan hanya memberikan markah yang lebih tinggi kepada pembangkang. Yang perlu dilakukan oleh pihak yang berwajib ialah untuk memperbaiki sistem pemilihan di dalam pilihanraya nanti.

Pihak kerajaan misalnya mesti memperuntukan masa yang sama banyak untuk kedua-dua belah pihak, pemerintah dan pembangkang untuk menggunakan media massa perdana. Perlu diingat yang wang ringgit yang digunakan untuk mewujudkan Radio dan Telivisyen Malaysia misalnya adalah dari wang cukai yang dibayar oleh semua rakyat termasuk pemimpin dan ahli pembangkang.

Kalaulah ahli-ahli parti pembangkang dan pemimpinnya tidak diberikan kemudahan yang sama maka elok dicadangkan supaya semua ahli parti pembangkang dikecualikan dari membayar cukai kepada kerajaan.

Rakyat sudah jemu dengan dakyah dengan niat kotor digunakan oleh parti pemerintah kepada pihak lain yang sama-sama membiayai badan-badan penyiaran itu.

— aspanaliasnet.blogspot.com



http://www.kl-today.com/2011/08/rally-bersih-tidak-sama-rally-totenham/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...