Friday, October 21, 2011

AZIZ BARI SAH DIGANTUNG KERJA OLEH UIAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sehingga siasatan ke atas beliau diselesaikan, berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor minggu lalu.Perkara itu terkandung dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beliau petang semalam.Aziz ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan perkara itu.

“Saya serahkan kepada peguam saya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peguamnya Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan bahawa selain digantung tugas, Aziz juga dilarang berada di UIA dan berhubung dengan mana-mana kakitangan dan mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan universiti itu.

“Berdasarkan surat tunjuk sebab, syarat-syarat ini dikenakan sehingga inkuiri selesai dijalankan,” kata beliau sambil menambah Aziz dikenakan tuduhan mengeluarkan satu kenyataan, yang dibawa oleh portal MalaysiaKini, didakwa telah memudaratkan nama baik dasar UIA.

Tuduhan itu dikenakan di bawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti.

“Saya difahamkan ini kali ketiga Prof Aziz Bari diberikan surat tunjuk sebab,” kata Dzulkarnain lagi.

Pensyarah paling kanan di fakulti undang-undang itu digantung bergaji sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Bagaimanapun difahamkan ini kali pertama beliau dilarang menjejaki kaki di kampus UIA.

Difahamkan penggantungannya itu akan menjejaskan lebih 100 pelajarnya daripada daripada peringkat sarjana muda hingga ke doktor falsafah (PhD).

Aziz berkhidmat dengan UIA sejak 22 tahun lalu.

“Dua surat sebelum ini, Prof Aziz Bari sendiri yang jawab, jadi saya tidak pasti sama ada digantung tugas atas tidak,” kata peguam itu yang semalam mengiringi pakar perlembagaan itu ketika disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan di Shah Alam.

Menurut Dzulkarnain, pensyarah itu diberi tempoh sehingga pukul 4 petang 25 Oktober ini untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan semalam.

“Prof Aziz akan menjawab surat tunjuk sebab dalam waktu terdekat,” kata beliau lagi.

Semalam, polis memulakan siasatan ke atas Aziz mengikut Akta Hasutan berikutan laporan pemimpin Umno Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat Aziz.

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Aziz sebelum ini dipetik berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja terbabit pada 3 Ogos lalu bukan tindakan lazim.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan Selangor sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jais tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Ditanya sama ada syarat-syarat yang dikenakan ke atas Aziz terlalu keras, Dzulkarnain berkata, “ya, saya rasa syarat-syarat seperti ini tidak perlu. Beliau tidak mengganggu sesiapa.. ini bukan kes gangguan seksual.”

“Lagi pun beliau ada pelajar-pelajar yang hendak diselia, ada kuliah, ada kelas untuk disampaikan,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin mengajak alumni universiti itu mengadakan protes di Masjid UIA di Gombak selepas solat Jumaat esok bagi menyatakan sokongan kepada Aziz.

Shamsul antara lulusan universiti itu dalam bidang undang-undang.


http://www.kl-today.com/2011/10/aziz-bari-sah-digantung-kerja-oleh-uiam/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...