There was an error in this gadget

Friday, October 21, 2011

AZIZBARISME SUDAH MELANDA

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 21ST, 2011

Mohamed Hadi al-Majwi

Saya mengenali Profesor Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah undang-undang perlembagaan saya ketika saya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Mudah ceritanya, Aziz Bari ialah tok guru saya dan sudah tentulah saya berasa amat terhutang budi kepada beliau.Saya percaya ribuan pelajar dan bekas pelajar beliau turut berkongsi sentimen yang sama dengan saya.Saya mengenali Aziz Bari sebagai seorang yang teguh dengan prinsip dan mempertahankan pandangan akademiknya berteraskan hujah ilmiah. Pandangan beliau yang tegas mengenai isu-isu perlembagaan dan kenegaraan sudah tentu perlu dibayar dengan risiko.
Ini yang selalu dipesankan oleh beliau kepada para pelajarnya. Disebabkan kelantangan beliaulah, beliau pernah berkata beliau tidak akan mempunyai peluang untuk menjadi Dekan di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Timbalan Rektor, apatah lagi Rektor UIAM.

Pingat dan darjah kebesaran daripada istana, jauh sekali! Tetapi inilah harga yang perlu dibayar untuk mempertahankan maruah ilmu yang dijunjung oleh beliau.

Di dalam memberi ulasan dan pandangan, saya melihat Aziz Bari sebagai seorang yang berterus-terang dan tidak berlapik-lapik atau berdolak-dalik di dalam mengutarakan buah fikirannya. Tidak seperti sesetengah profesor kangkung dan bayam yang kita boleh kenal ciri-cirinya.

Buku-buku penulisan beliau mengenai perlembagaan juga secara terbuka mengkritik parti pemerintah dan tokoh-tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir Mohamad. Bukan baru sekarang, tetapi konsisten sejak dahulu lagi.

Bacalah hasil penulisan beliau (masalahnya yang menghentam beliau pun tak pernah membaca buku-buku dan artikel-artikel beliau). Kalau orang menuduh Aziz Bari pro-pembangkang, ini juga saya fikir melucukan kerana kita masih belum terlupa beliau pernah mengkritik kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka di media massa.

Ulasan Aziz Bari seringkali ditagih di dalam soal-soal berkaitan perlembagaan, dari zaman Meor Atiqulrahman, membawa kepada Lina Joy, sehinggalah krisis perlembagaan Perak dan terkini isu titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah gereja.

Sudah tentulah tidak semua pandangan beliau boleh diterima oleh semua pihak, tetapi kalau tidak bersetuju, balaslah dengan hujah akademik. Tetapi di bumi bertuah ini, hujah intelek selalunya dibalas dengan laporan polis, soal siasat pihak berkuasa, surat tunjuk sebab dan pelbagai bentuk intimidasi lain.

Satu perkara lagi yang saya kagum dengan Aziz Bari ialah beliau seorang yang sangat rajin menulis, baik santai mahu pun ilmiah inti penulisannya. Tulisan-tulisan ini pula bukanlah dipetik daripada langit, tetapi beliau berkorban masa untuk menghasilkannya.

Para pelajar dan pensyarah di AIKOL boleh mengesahkan, sewaktu cuti-cuti umum, sewaktu UIAM lengang tidak berpenghuni, kita boleh melihat kereta Mercedes antik merah beliau di parkir kereta pensyarah dan lampu biliknya menyala hingga ke lewat malam. Pengampukah orang sebegini? Kaki bodekkah? Kangkungkah?

Sepanjang yang saya tahu, Aziz Bari tidak bercita-cita tinggi pun di dalam politik. Cita-citanya hanyalah para pelajar, buku-buku ilmiah dan hasil kajiannya sahaja. Setahu saya, Aziz Bari tidak ada telefon bimbit pun. Takkanlah orang yang tiada telefon bimbit sebegini cita-citanya mahu jadi wakil rakyat dan seterusnya menjadi menteri kabinet atau Perdana Menteri?

Terkini, beliau telah digantung tugas daripada UIAM disebabkan tuduhan-tuduhan jahat ke atas beliau. Saya percaya bekas pelajar-pelajar beliau yang sudah menjadi “orang-orang besar” menggeleng-geleng kepala dengan perkembangan ini.

Bagi saya, ini tidaklah aneh kerana warga UIAM sudah masak dengan wayang murahan sebegini. Kita pun tahu apa sudah berlaku sewaktu Ustaz Azhar Idrus dijemput berceramah di UIAM. Hilang seorang profesor, berderet-deret universiti luar negara yang akan mengambil beliau untuk berkhidmat di luar negara. Akhirnya siapa yang menjadi mangsa? Para pelajar kita juga.

Saya cuma insan kerdil yang tidak mempunyai kuasa dan upaya untuk mengubah keadaan. Saya hanyalah bekas anak murid Aziz Bari dan saya menukilkan pendapat saya ini sebagai tanda sokongan penuh saya kepada beliau. Warga UIAM dan bekas para pelajar beliau, marilah kita berdoa supaya Profesor Dr. Abdul Aziz Bari diberikan segala kekuatan untuk menghadapi ujian ini.

Berpegang teguhlah Prof, kami semua mendoakan. Sesudah Sabuisme, kita kini menyaksikan gelombang Azizbarisme.

http://www.kl-today.com/2011/10/azizbarisme-sudah-melanda/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...