Friday, October 21, 2011

SAIFUDDIN KESAL TINDAKAN UIAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata beliau “terganggu dan sedih” mendengar isu pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mengambil tindakan ke atas pensyarah undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari – diberi surat tunjuk sebab dan digantung perkhidmatan.Aziz juga ditegah memasuki kampus UIA sehingga siasatan ke atas beliau selesai.“Saya terganggu dan sedih mendengar kes ini. Saya tidak semestinya setuju dengan smua pendapat Aziz Bari. Kalau benar dia bersalah, wajar dihukum,” kata beliau dalam satu kenyataan SMS lewat petang ini.

Kata beliau, oleh kerana kes ini masih dalam siasatan, “tindakan UIA menggantungnya saya dapati timbulkan persoalan.”

“Saya telah minta laporan bertulis, ia belum saya terima,” katanya.

Saifuddin (gambar) yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata beliau juga menerima maklumat bahawa ada pihak termasuk mahasiswa yang ingin menyatakan pembelaan terhadap Aziz.

“Itu hak mereka,” katanya merujuk kepada tindakan perhimpunan protes di kampus induk UIA di Gombak esok.

Dalam pada itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abd Razab mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA menggantung tugas Aziz Bari. Katanya, tindakan UIA adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’.

“Oleh yang sedemikian, SMM menyatakan pendirian sekeras-kerasnya mengecam tindakan tersebut. Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UIA seharusnya mempertahankan Prof Dr Abdul Aziz Bari atas dasar kebebasan akademik dan kebebasan berpendapat.

“Justeru, SMM akan melakukan mobilasi mahasiswa secara besar-besaran daripada seluruh kampus di Lembah Klang untuk mengadakan demonstrasi di Masjid Universiti Islam Antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, SMM menjangkakan hampir 1,500 orang mahasiswa dan anak muda akan hadir untuk turut serta.

Sebelum ini, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai “satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.”

“Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.

“Ternyata perlantikan ‘kepimpinan baru di UIA’ itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

http://www.kl-today.com/2011/10/saifuddin-kesal-tindakan-uiam/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...