Friday, October 21, 2011

HAMPIR 800 HIMPUN SOKONG AZIZ BARI

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 21ST, 2011

Beberapa orang pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan ketat di pintu gerbang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) manakala orang awam dihalang daripada memasuki bangunan tersebut.Menurut seorang pengawal keselamatan, selain orang awam, pihak media juga tidak dibenarkan masuk.”Hanya sidang media jam 12 tengahari sahaja dibenarkan, selepas itu orang awam tak dibenarkan masuk, nak sembahyang Jumaat pun tak boleh.
“Kami terima arahan tak benarkan orang awam dan media masuk hari ini,” kata pengawal keselamatan itu.

Tindakan itu dipercayai bagi membantutkan usaha kumpulan mahasiswa yang mahu berdemonstrasi terhadap UIA yang menggantung tugas Profesor Dr Abdul Aziz Bari sebagai pensyarah.

Sementara itu, adalah dilaporkan bahawa hampir 800 orang mahasiswa yang dipercayai pelajar UIA sendiri telah berhimpun membantah penggantungan Abdul Aziz.

Perhimpunan itu berlansung di perkarangan masjid UIA selepas solat Jumaat.

Mereka melaungkan “Hidup Ilmu”, “Lawan Kezaliman”, “Bebas Aziz Bari” dan menuntut kebebasan akademik di universiti khususnya di kampus berkenaan.

Mereka berhimpun untuk menyokong dan mendokong Abdul Aziz dan mendesak universiti membatalkan hukuman penggantungan kepada pakar pelembagaan itu.

Sewaktu mereka hendak berarak menghantar memorandum, berlaku kekecohan apabila pengawal keselamatan universiti cuba menghalang mereka menghantar memorandum kepada rektor UIA, menyebabkan berlakunya tolak menolak berlaku.

Sementara itu, keadaan trafik di luar kampus dari Gombak adalah sibuk terutamanya menghampiri simpang kiri keluar menuju ke UIAM sejak jam 1 petang tadi berikutan usaha ramai penyokong dari luar yang akhirnya terhalang daripada memasuki kampus berkenaan oleh pihak keselamatan UIA sendiri. Dijangkakan sekiranya mereka dibenarkan masuk, jumlah mereka yang berhimpun boleh mencecah lebih ramai lagi.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIAM pagi tadi turut mengecam tindakan pengurusan pusat pengajian tinggi itu ke atas Prof Dr Abdul Aziz Bari sambil menggesa agar penggantungan perkhidmatan beliau ditarik balik dengan segera.

Pertubuhan pelajar itu juga mahu pengurusan UIA mengadakan pengadilan atau inkuiri terbuka bagi menyiasat kes itu demi mendapatkan penjelasan kedua-dua pihak.

“Kami melahirkan rasa dukacita terhadap tindakan penggantungan yang dikenakan terhadap seorang pakar perlembagaan di Malaysia. Apatah lagi, beliau telah menyumbang bakti di bumi UIA digantung tanpa diadili terlebih dahulu,” kata Presiden MPP UIA Mohamad Iqbal Ab Wahab dalam satu kenyataan hari ini.

Pelbagai pihak termasuk Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah melahirkan rasa tidak senang dengan perkembangan tersebut semalam.

Ramai juga menggesa agar tindakan ke atas Aziz ditarik balik dan dibatalkan.

Kata Mohamad Iqbal, perkara itu jelas bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh berkenaan kebebasan bersuara.

“Yang lebih menyedihkan, kebebasan akademik secara jelas telah dicabul. Jenayah akademik dan intelektual sebegini tidak dapat diterima oleh seluruh rakyat Malaysia secara amnya dan warga UIA khususnya,” kata beliau lagi.


Parti Sosialis Malaysia (PSM) hari ini juga menyifatkan tindakan pihak pentadbiran UIAM yang menggantung tugas Abdul Aziz Bari sebagai bacul.

Setiausahanya S Arulchelvan berkata, PSM menganggap tindakan menggantung pensyarah kanan kulliyyah undang-undang itu sebagai tindakan bacul dan kurang profesional.

“Tindakan ini juga menjurus kepada mencabul hak kebebasan akademik dan hak memberikan pendapat iaitu satu hak perlembagaan,” kata Arutchelvan dalam satu kenyataan media.

Semalam UIA bertindak menggantung tugas Abdul Aziz sebagai pensyarah undang-undang sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau didakwa “memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti” dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Tindakan terhadap pakar perlembagaan itu dipercayai berikutan reaksinya sebelum ini terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Beliau berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

http://www.kl-today.com/2011/10/hampir-800-himpun-sokong-aziz-bari/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...