Friday, October 21, 2011

AZIZ BARI: TINDAKAN UIAM TERUS DIKECAM

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 20TH, 2011

Tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung pakar perlembagaan terkemuka, Prof Dr Abdul Aziz Bari amat mendukacitakan.Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong berkata, UIA sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang bertaraf antarabangsa, sepatutnya mempertahankan hak ahli akademik menyuarakan pendapat dan idea.Malangnya, kata beliau universiti tersebut bukan sahaja gagal mempertahankan Dr Aziz apabila diserang oleh ahli politik dan media Umno, tetapi sebaliknya menggantung beliau pada hari ini.

“Dengan mengambil tindakan ini, UIA terbukti mementingkan agenda politik Umno. Transformasi yang sering dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jelas merupakan janji-janji kosong,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, universiti-universiti sepatutnya menggalakkan perkongsian pendapat dan debat untuk membuka minda masyarakat sejagat.

Beliau yang Adun Bukit Lanjan berkata, jika seorang ahli akademik yang dihormati dihukum kerana memberi ulasan dalam bidangnya, maka semua ahli akademik secara tidak langsung akan disunyikan.

Tambahnya, tindakan menggantung Dr Aziz merupakan bukti jelas mengapa tahap kecermelangan institusi pengajian tinggi di Malaysia tetap merudum.

“Saya menggesa UIA untuk menarik balik penggantungan ini dengan serta-merta. Hak kebebasan akademik mesti dipertahankan,” ujarnya.

Sementara itu, Exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, “Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza.

“Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.

”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” kata Dr Muhammad Fadzli lagi.

Beliau yang juga bekas pensyarah di UIA meluahkan terkejut di atas tindakan tersebut, sepatutnya ia tidak berlaku dalam masa begitu pantas.

Semalam Dr Abdul Aziz dilaporkan menerima surat tunjuk sebab daripada UIA berkaitan pandangannya sebagai seorang ahli akademik terhadap titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan JAIS di sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.

Ahli akademik yang agak lantang itu juga disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) ekoran laporan polis dibuat pemimpin Umno termasuk Senator Ezam Mohd Noor.

Difahamkan juga Dr Abdul Aziz digantung sehingga notis selanjutnya dikeluarkan. Selain itu menurut laporan Malaysiakini beliau juga tidak dibenarkan memasuki pejabatnya di kampus Gombak.

Prof Dr Abdul Aziz berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, tindakan dilakukan UIA itu merupakan satu langkah yang tidak bertamadun.

“Ini jauh sekali daripada merelaikan setiap masalah yang timbul. Sepatutnya hujah akademik dibalas dengan pandangan yang sama bagi menggambarkan kewibawaan ilmu seseorang,” ujarnya.

Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, apa yang dilakukan UIA terhadap Dr Abdul Aziz sebagai strategi dan proses ke arah ‘melenyapkan’ golongan intelektual yang berani menyatakan kebenaran.

Menurutnya tindakan agresif tanpa siasatan rapi itu menjelaskan kepada rakyat, Umno dan BN sekarang mahu kemandulan intelektual terus berlaku di negara ini.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua pula berkata, SKMM dan polis juga dengan segera perlu menarik balik tindakan mereka mahu menakut-nakutnya pensyarah itu hanya kerana memberikan pandangan mengenai undang-undang.

“Pada masa yang sama, UIA seharusnya menarik balik surat tunjuk sebab yang mengakibatkan persepsi bahawa pihak berkuasa universiti di Malaysia kurang kebebasan dan hanya bertindak sebagai alat kepada parti pemerintah untuk menekan pandangan-pandangan yang berbeza,” kata beliau.

Kata Pua, pihaknya tidak bersetuju dengan pandangan-pandangan dikemukakan oleh Aziz sepanjang masa, tetapi setiap orang khususnya mereka yang ada pengkhususan dalam bidang masing-masing sewajarnya diberi kebebasan untuk melahirkan pandangan dan pendapat masing-masing.

“Kami percaya bahawa setiap orang, apa lagi ahli-ahli akademik dalam bidang pengajian yang relevan, harus ada suara untuk memberi pandangan mengenai kesemua perkara yang berkaitan dengan Perlembagaan. Apatah lagi, Malaysia merupakan negara yang bersandarkan undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin juga mengecam keras tindakan pentadbiran UIA yang bertindak menggantung perkhidmatan Aziz.

“Penggantungan ini, susulan daripada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan semalam ke atas Dr Aziz, ternyata sesuatu yang memelikkan dalam keadaan Dr Aziz belum lagi memberikan sebarang jawapan balas kepada surat tunjuk sebab berkenaan yang meletakkan tarikh 25 Oktober sebagai tarikh akhir untuk beliau menjawabnya,” kata beliau.

Beliau berkata, isu yang dipolemikkan secara berlebihan oleh Utusan Malaysia dan beberapa aktivis politik picisan melibatkan kenyataan terdahulu Aziz sehingga beliau disiasat oleh SKMM dan polis, nyata sekali bertujuan untuk mengelirukan rakyat dan bertujuan untuk membangkitkan sentimen rakyat ke atas sesuatu isu yang sememangnya jelas justifikasinya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sistem perundangan Malaysia.

“AMK melihat, penggantungan ini, jelas mencalarkan imej UIA selaku ‘taman ilmu dan budi’, apabila dalam keadaan budaya ilmu melalui penghujahan fakta yang autoritatif dalam lingkungan kepakaran seseorang pensyarah ditekan dengan tindakan seumpama ini,” kata beliau.

http://www.kl-today.com/2011/10/aziz-bari-tindakan-uiam-terus-dikecam/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...