Wednesday, August 6, 2008

Barbeku



BILA mengadakan majlis di halaman, tiada yang lebih sesuai dan menyeronokkan daripada barbeku. Ia adalah kaedah memasak makanan dengan cara memanggang. Tidak sukar jika anda atau rakan-rakan pernah membuatnya. Memang sesuatu yang menggembirakan bila dapat berbual sambil menikmati bau makanan yang dipanggang.
Jika anda tiada tempat memanggang khas, anda boleh nyalakan api di atas tanah. Kemudian gunakan dua tungku atau batu-bata supaya kedudukan bahan yang anda ingin bakar lebih tinggi. Jika bara api terlalu dekat, makanan mudah hangus. Jangan nyalakan api tersebut di atas lantai simen. Alas terlebih dahulu dengan zink atau sebarang kepingan besi atau keluli.
Memanggang juga boleh dilakukan di bawah gril. Hanya sesetengah ketuhar yang mempunyai elemen gril. Pastikan bahan diletakkan agak jauh dari atas (bahagian gril). Letak bahan di atas redai yang telah disapu dengan minyak supaya ia tidak melekat. Redai pula hendaklah diletakkan di atas tin pembakar yang dilapik dengan foil.
Tujuan menggunakan redai adalah supaya cecair yang terbit daripada makanan akan terkumpul di dalam tin pembakar. Ini akan memastikan makanan masak dengan sempurna. Anda juga perlu merenjiskan makanan itu dengan sedikit bahan perap atau minyak. Dengan cara ini, makanan tidak akan menjadi kering. Ia juga akan mengempukkan daging dengan sempurna.
Bila memanggang, jangan suka menterbalikkan sesuka hati. Ini akan melambatkan daging masak. Biar ia keperangan terlebih dulu baru diterbalikkan. Sekiranya api menyala, alihkan daging atau ayam tersebut dengan segera. Kadangkala lemak daripada makanan ini dapat memarakkan api. Pastikan anda memanggang dengan bara sahaja. Jadi, pilihlah arang yang terbaik kerana ia mudah menjadi bara.
Jika hendak memerap lebih daripada empat jam, letakkan di dalam peti sejuk. Keluarkan kira-kira sejam sebelum mula memanggang. Jika daging atau ayam dibiarkan pada suhu bilik dalam jangkamasa yang lama, bakteria akan membiak dengan cepat. Bakteria inilah yang boleh membuat anda berasa sakit perut.
Bila memilih stik untuk memanggang, carilah jenis striploin, rib-eye atau T-bone. Bahagian ini lebih lembut. Jika membeli daging di pasar raya, memang ada potongan khas untuk membuat stik. Selalunya ia adalah yang paling mahal kerana mudah empuk. Jika keliru, anda boleh tanyakan pada penjual.
Manakala daging kambing seharusnya yang mempunyai lapisan lemak. Lemak inilah dapat mengekalkan kelembutan kambing bila dipanggang. Jika di bahagian rusuk yang ada sedikit tulang, adalah lebih baik kerana ia lebih mudah untuk diterbalikkan. Untuk mendapatkan kambing barbeku yang lebih sedap, taburkan daun rosemary kering atau segar di atas kambing semasa memanggangnya.
Semasa membuat kuah atau sos, pastikan ia mendidih betul. Ini untuk memastikan semua bakteria yang mungkin ada di dalam bahan perap itu dihapuskan. Anda juga boleh menyediakan bahan sos berpandukan resipi. Jadi, tidak perlu menggunakan baki bahan perap. Ini adalah kerana kadangkala baki bahan perap tidak mencukupi untuk tetamu yang ramai.
Makanan barbeku yang biasa adalah udang, sotong dan ikan. Untuk memudahkan anda memanggang sotong, susun dalam bekas memanggang keluli yang berkepit. Anda juga boleh menggunakan skewer atau besi pemanggang khas. Ini dapat menjimatkan masa dibandingkan jika anda perlu menterbalikkan bahan tersebut satu persatu.
Hidangan sampingan untuk barbeku lazimnya adalah campuran ubi kentang rebus, hirisan seleri, telur rebus bersama mayonis, sos Thousand Island, garam dan serbuk lada hitam. Untuk lebih enak, sajikan juga jagung yang sudah direbus, disapu dengan mentega dan serbuk perisa makanan sebelum dipanggang.
Selain itu, sediakan daun-daun salad, tomato, timun dan lain-lain yang digaul dengan jus limau serta minyak zaitun. Sayuran segar seperti timun dapat mengurangkan efek karsinogen bahagian garing (atau hangus sedikit) pada makanan yang dipanggang.



http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...