Wednesday, August 6, 2008
Perlu nilai kemampuan lawan
HARIS (kiri) mahu anak buahnya menilai keupayaan pasukan lawan termasuk musuh tradisi, Thailand.
SELEPAS setahun tidak beraksi di pentas antarabangsa, skuad sepak takraw kebangsaan kini perlu menilai keupayaan beberapa negara lain selain musuh tradisi, Thailand pada Kejohanan Piala Raja Thai yang berlangsung di Bangkok, hujung bulan ini.
"Jika dahulu Thailand merupakan pencabar utama kita, kini pasukan Vietnam, Indonesia dan Myanmar harus kategorikan sebagai pesaing jika ingin mara ke perlawanan akhir," kata jurulatih kebangsaan, Haris Abdul Rahman semalam.
Haris berkata Vietnam, Indonesia dan Myanmar semakin menunjukkan peningkatan dari segi corak permainan apabila meraih pingat perak dan gangsa pada Sukan SEA Korat di Thailand, tahun lepas.
Pada temasya di Korat itu, Vietnam meraih tiga perak dan tiga gangsa, Indonesia menduduki tangga ketiga dengan tiga perak dan satu gangsa manakala Myanmar berada di tangga keempat dengan pungutan dua pingat perak dan empat gangsa.
Tuan rumah, Thailand berjaya menyapu bersih lapan emas yang dipertandingkan dalam acara itu.
Malaysia menarik diri daripada temasya di Korat itu kerana membantah penggunaan bola sintetik Marathon-Gen 2.
"Kita sedar laluan pada tahun ini amat sukar kerana rata-rata pemain negara adalah merupakan pemain baru dan cetek pengalaman pada peringkat antarabangsa," katanya.
Haris berkata pemain-pemain kebangsaan baru memasuki kem latihan kelmarin setelah menyertai Kejohanan Piala Khir Johari di Terengganu baru-baru ini dan senarai akhir ke Bangkok hanya akan diketahui pada 18 Ogos depan.
Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran kerana kejohanan itu dianggap sebagai pendedahan khususnya untuk pemain-pemain baru.
http://www.kosmo.com.my/
No comments:
Post a Comment