Wednesday, August 6, 2008

Dalang penyakit 'demam lumpur'

Pada tahun 2007 sahaja, kes leptospirosis telah meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Wartawan YEO LI SHIAN merungkai permasalahan yang diakibatkan oleh air kencing tikus ini.



KUAN EE (bukan nama sebenar), 35, seorang tukang paip yang banyak menghabiskan masa membaiki paip-paip di sekitar ibu kota. Dalam tempoh setahun bekerja, pernah beberapa kali dia mengambil cuti sakit ekoran ‘penyakit’ yang memperlihatkan simptom-simptom biasa. Petanda-petanda seperti demam panas, sakit-sakit otot, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan mata merah adalah antara yang dialaminya.
Hampir setiap kali kunjungannya ke klinik, jawapan doktor yang diterimanya ialah: “Tak apalah, mungkin cuaca atau tersalah makan. Lepas makan ubat ini, kalau tak sihat lagi, datang balik.”
Walaupun selepas satu ketika demam panasnya mulai reda, Kuan Ee kini dibimbangi pula dengan pelbagai masalah lain. Ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerangnya. Penglihatannya pula menjadi sedikit kabur. Simptom-simptom kali ini yang disangkakan berlanjutan sehingga beberapa hari rupa-rupanya berterusan selama berminggu-minggu.
Akhirnya, Kuan Ee disahkan menjadi mangsa leptospirosis, satu perkataan yang tidak pernah terlintas di ruang fikirannya.

KEMPEN menangkap tikus yang dijalankan di Wangsa Maju baru-baru ini bertujuan mengurangkan populasi tikus.


Seperti juga Kuan Ee, leptospirosis adalah istilah yang terlalu asing bagi kebanyakan kita. Mengapa agaknya pengetahuan terhadap leptospirosis begitu rendah?
“Simptom-simptom leptospirosis lazimnya nampak begitu umum dan pesakit biasanya beransur pulih selepas kira-kira lima hari. Jadi, tidak mustahil pada kebanyakan masa, ia tersalah didiagnosis sebagai demam panas, selesema atau petanda biasa yang lain.
“Hanya sebahagian kecil iaitu lima hingga 10 peratus kes ini bertambah teruk sehingga menjurus kepada penyakit Weil,” kata Ketua Jabatan Perubatan, Hospital Sungai Buloh, Dr. Christopher Lee ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Menurutnya, leptospirosis yang tergolong dalam kelas zoonosis merupakan penyakit berjangkit paling umum menjejaskan manusia dan haiwan di dunia. Penyakit Weil pula adalah sejenis leptospirosis tahap serius.
Pada tahun 1870, hasil penemuan bersejarah Adolph Weil telah direkodkan iaitu selepas beliau mengesan kehadiran penyakit ini pada empat orang pesakitnya.
Leptospirosis yang sering menerima jolokan demam swamp atau lumpur, ini mulai ‘membina reputasi’ sebagai penyakit pekerjaan dalam kalangan tukang paip dan pekerja loji kumbahan sekitar tahun 1883. Lantas tidak hairanlah apabila kira-kira 30 hingga 50 peratus daripada kes leptospirosis yang melibatkan manusia berlaku di tempat kerja.
Tahun 1907 pula memperlihatkan satu kaedah staining khas yang digunakan untuk mengesahkan sejenis spirochete iaitu leptospira sebagai dalang penyakit ini.


DR. CHRISTOPHER menunjukkan bakteria spirochete.

Tidak tertakluk kepada jenis etnik tertentu, Christopher menjelaskan jangkitan leptospirosis boleh berlaku menerusi sentuhan secara langsung atau tidak langsung dengan air kencing binatang tercemar.
“Organisma seakan bakteria iaitu spirochete yang biasanya mudah ditemui di persekitaran, misalnya tanah adalah dalang penyakit ini. Leptospira mungkin ditelan tanpa sengaja sewaktu seseorang itu mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti beriadah.
“Luka pada kulit atau membran mukus dalam mata ataupun hidung juga merupakan tempat yang mudah dijangkiti,” jelasnya yang juga seorang pakar perunding kanan penyakit berjangkit.
Jika anda peminat sukan rekreasi khasnya yang melibatkan air, ini mungkin berita yang kurang menyenangkan anda. Meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum mempunyai data yang menunjukkan tahap pencemaran leptospira di sungai atau tempat awam, ini tidak bermakna anda bebas risikonya.
“Aktiviti berisiko tinggi termasuk berenang sewaktu banjir atau di sungai, berakit, berkayak, menyertai aktiviti di kawasan berlumpur, misalnya berkhemah serta mendaki gunung.
“Berenang merupakan satu-satunya aktiviti yang tidak boleh dicegah daripada kecenderungan tertelan air atau terkena kulit. Bagaimanapun, hanya dalam air masin seperti di laut sahaja bakteria tersebut tidak akan bertahan,” katanya.


JANGAN biarkan anak bermain dengan air banjir.


Satu laporan pada November lalu menunjukkan wabak leptospirosis berlaku di Ireland selepas berakhirnya satu pertandingan berkanu di sebuah sungai.
Biarpun leptospirosis merupakan sejenis ‘penyakit universal’ dan boleh berlaku di mana-mana di dunia, ia bagaimanapun lebih biasa ditemui di kawasan beriklim tropika yang mencatatkan taburan hujan dan banjir tertinggi.
Menyentuh tentang hujan, Christopher pantas menegaskan bermain atau berenang dalam air banjir bukan sesuatu yang menyeronokkan.
“Saya sering kali terkejut melihat sesetengah ibu bapa membiarkan anak bermain dalam air banjir. Waktu air hujan melimpah, pelbagai bakteria dan penyakit dibawa masuk ke dalam air banjir. Ibu bapa patut menghalang anak mendekati air banjir,” katanya.
Tentu ada yang tertanya-tanya apa pula risiko mereka yang menjadikan tikus sebagai makanan, ini jawapan beliau: “Bakteria ini telah pun mati selepas tikus dimasak.”
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kadar kelaziman wabak leptospirosis telah dilaporkan di negara-negara berbeza seperti di India, Peru, Hawaii, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Malaysia.




AKTIVITI berlumpur seperti pembaikan paip turut mendedahkan seseorang kepada risiko dijangkiti leptospirosis.


Di AS sahaja, kira-kira 100 hingga 200 kes leptospirosis dilaporkan setiap tahun oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit negara itu. Kira-kira 50 peratus kes itu berlaku di Hawaii.
Mungkin sebab itulah, tidak patut kita memperlekehkan kekecilan bakteria ini kerana hanya setitik air sahaja sudah mampu menjejaskan hidup anda.
Bercerita lanjut, Christopher berkata, masyarakat urban yang tinggal di kawasan dengan persekitaran yang kotor sehingga mengundang kehadiran tikus secara semula jadinya lebih berisiko.
Andainya hanya kerana kes leptospirosis jarang kedengaran di bumi Malaysia, itu tidak bererti kita tidak perlu mengambil langkah berjaga-jaga.
Satu data yang diperoleh daripada KKM baru-baru ini mungkin akan membuka mata anda. Jumlah keseluruhan kes leptospirosis yang dimasukkan ke wad dalam tempoh sedekad ini (dari tahun 1999 sehingga 2007) adalah sebanyak 3,161 kes. Jika diamati pada perangkaan tahun demi tahun, bilangan kes penyakit ini nyata menampakkan peningkatan.
Pada tahun lalu sahaja, kes leptospirosis meningkat secara mendadak kepada 929 berbanding 527 kes pada tahun sebelum itu. Ia sekali gus menjadi bilangan kes tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh sedekad ini. Dengan peningkatan kes leptospirosis sejak tiga tahun kebelakangan ini, bukankah penyakit ini signifikan untuk diberi perhatian? Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan?
Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, KKM, Dr. Zairina A. Rahman yang dihubungi menerusi e-mel berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan risalah-risalah berkaitan leptospirosis untuk meningkatkan kesedaran umum.
“Risalah ini boleh didapati di mana-mana klinik kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah atau Negeri. Malah, tumpuan kesedaran turut diberikan kepada golongan tentera, pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara serta mereka yang meminati sukan air,” katanya kepada Kosmo!.
Oleh kerana air dan tanah merupakan dua sumber tersebarnya bakteria spirochete maka, tidak mengejutkan apabila sebahagian besar mangsa leptospirosis di Malaysia adalah kaum lelaki.
“Sebanyak 84.6 peratus mangsa leptospirosis adalah dalam lingkungan 12 hingga 54 tahun kerana mereka merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan aktiviti di luar rumah.
“Antara aktiviti yang mendedahkan mereka dengan risiko mendapat penyakit ini termasuk melakukan aktiviti air, tanah atau mengambil makanan yang tercemar dengan air kencing haiwan khasnya tikus,” jelasnya.


Risiko jangkitan katanya hanya boleh dikurangkan jika kehadiran tikus dan pencemaran oleh air kencing binatang itu dihapuskan sama sekali. Mungkin atas teori inilah, satu kempen menangkap tikus telah dilancarkan di Bandar Baru Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada penghujung April lalu.
Kempen sebulan itu adalah anjuran bersama Jabatan Kesihatan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KKM, Komuniti Bestari Seksyen 2 dan Gabungan Perbadanan Pengurusan Seksyen 2.
Bagi setiap ekor tikus yang ditangkap dan diserahkan kepada DBKL, penduduk akan diberi ganjaran sebanyak RM2. Wangsa Maju yang mempunyai lima seksyen dikatakan menghadapi masalah kehadiran tikus paling teruk di Seksyen 1 dan Desa Setapak.
Namun, Dr. Zairina menekankan kempen tersebut tidak mempunyai kaitan khusus dengan kes leptospirosis. Tetapi, ia sekadar mendapatkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan sekali gus mengurangkan populasi tikus.
Sehubungan itu, kementerian juga telah menjadikan penyakit leptospirosis sebagai penyakit di bawah pengawasan dan pemantauan demi mengetahui perkembangan terkininya.
“Selain itu, KKM bakal mengeluarkan satu panduan Prosedur Operasi Standard bagi pencegahan dan pengawalan penyakit ini untuk kegunaan golongan pengamal perubatan,” katanya.
Bagi masyarakat umum, ini nasihatnya: “Elakkan daripada berenang, mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing binatang. Jika mengalami gejala jangkitan seperti demam, sakit kepala, sakit perut atau kencing tidak normal, selepas menyertai sesuatu aktiviti riadah berair, segera dapatkan rawatan doktor.”


http://www.kosmo.com.my/






No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...