Simposium Kekeluargaan 1, Universiti Kolej Sunway mengajak para pelajar supaya bijak mengimbangkan antara pelajaran dan cinta. Mengapa?
MENGECAPI kejayaan perlu disusuli dengan usaha dan doa, jadi setiap dari pelajar perlu berfikir panjang dalam melibatkan diri dengan hubungan cinta.
PERTAMA kali mendaftarkan diri sebagai seorang pelajar di salah sebuah institusi, Ina berjanji kepada kedua-dua orang tuanya untuk memperoleh segulung ijazah.
Sebaik menunaikan solat Subuh dan bersarapan pagi, Ina mengatur langkah bersama rakan sekuliah.
Rakan-rakan sekelas cukup menyenangi Ina kerana dia seorang pelajar yang pintar dan berbakat.
Namun segala-galanya berubah apabila Ina mula mengenali seorang jejaka menerusi perbualan siber. Tempoh perkenalan selama enam bulan di alam maya akhirnya membuahkan putik-putik cinta.
Mereka semakin kerap bertemu dan Ina hilang fokus terhadap pelajaran. Keputusan peperiksaannya juga mengecewakan. Akhirnya, Ina dibuang oleh pihak universiti kerana tiga kali gagal dalam peperiksaan.
Itulah antara situasi yang berlaku dikalangan pelajar. Hanya kerana cinta, cita-cita yang dikejar musnah dalam sekelip mata.
"Sebagai remaja dan pelajar, kita seharusnya bijak mengimbangkan antara pelajaran dan percintaan. Tidak salah untuk bercinta tetapi kita perlu memberi keutamaan kepada perkara yang menjamin masa depan.
"Perlu difahami bahawa cinta boleh membawa kita kebahagiaan dan cinta juga boleh membuatkan kita terjerumus ke lembah yang hina," jelas penuntut ijazah psikologi, Puteri Elfarezza Rigil Wahyu Nugrono, 18 tahun.
Disebabkan cinta, masalah sosial seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, merogol, berzina, hamil anak luar nikah, membuang anak dan seterusnya membawa individu ke pertukaran agama, berlaku.
Mengambil kira faktor tersebut, kelab SAHABAT (pelajar Melayu), Universiti Kolej Sunway menganjurkan Simposium Kekeluargaan 1, baru-baru ini.
Simposium yang menyentuh hal berkaitan cinta telah dihadiri seramai 200 pelajar dari beberapa buah institusi pengajian tinggi tempatan.
"Cinta merujuk kepada perasaan suci yang berputik dalam hati. Cinta juga merupakan teras kehidupan, pencetus rindu yang mengukuhkan hubungan sesama manusia.
"Cinta ibarat mati. Apabila tiba masanya, setiap manusia pasti akan meninggalkan dunia. Begitu juga dengan perasaan cinta yang tidak boleh ditolak dan dielakkan," jelas Pengarah Program Simposium Kekeluargaan 1, Universiti Kolej Sunway, Yazilmiwati Yaacob.
Tambah beliau, rasa cinta yang membuak-buak dan kenikmatan cinta itu sendiri, biasanya akan berlaku kepada setiap individu termasuklah golongan muda. Pada peringkat usia ini, remaja beranggapan cinta adalah segala-galanya.
SEBAHAGIAN daripada peserta Simposium Kekeluargaan 1, Universiti Kolej Sunway.
Jika tidak bercinta, mereka rasakan seperti ketinggalan zaman atau 'tidak laku'. Namun, obsesi mengejar cinta telah mendorong golongan pelajar mengabaikan pelajaran.
Kesannya, mereka bukan sahaja gagal dalam pelajaran, malah maruah dan kehormatan diri turut dirampas, sebelum diikat sebagai pasangan suami isteri yang sah.
Yazilmiwati yang juga pensyarah Pengajian Islam telah membuat satu kajian untuk mengenalpasti tingkah laku remaja bercinta yang melakukan perkara yang bercanggah dengan agama. Ini termasuklah berpegangan tangan, bercium, melakukan hubungan seks, oral seks, berdua-duaan dan menonton wayang.
Kajian yang dikenali sebagai Permasalahan Cinta ini dijalankan terhadap 200 orang remaja berumur antara 13 hingga 21 tahun di sekitar Lembah Klang.
Hasil kajian tersebut menunjukkan, peratusan tingkah laku remaja yang paling tinggi adalah merujuk kepada aktiviti berpegangan tangan sebanyak 70 peratus. Ini diikuti dengan menonton wayang sebanyak 49 peratus.
"Bermula daripada berpegangan tangan maka remaja akan lebih berani untuk melakukan perbuatan seperti bercium dan melakukan hubungan seks.
"Lagipun, kebanyakan kes rogol pada hari ini, berlaku di kalangan pasangan yang sudah mengenali antara satu sama lain atau dikenali sebagai date rape," jelas Yazilmiwati.
Bagaimana dengan kajian berhubung perasaan terhadap kekasih? Jelasnya, sebanyak 58 peratus remaja lebih menyayangi pasangan sepenuh hati berbanding mahu menjadikan kekasih sebagai pasangan hidup, tempat melepaskan kebosanan dan mengikut rakan sebaya bercinta.
Justeru, golongan remaja yang mencintai pasangan sepenuh hati ini sanggup menyerahkan 'harta' yang paling berharga untuk kebahagiaan kekasihnya.
Sepatutnya kata Yazilmiwati, pelajar yang bercinta seharusnya saling ingat-mengingati antara satu sama lain.
"Dalam erti kata lain, jika pasangan kita belum menunaikan solat, nasihat supaya menunaikan kewajipan tersebut. Sekiranya, pasangan leka dan tidak mengulang kaji pelajaran, pujuk mereka untuk belajar bersama-sama di perpustakaan atau lokasi yang terbuka," nasihat Yazilmiwati.
Faktor-faktor kerosakanKurangnya penghayatan dan didikan agama antara faktor yang menyebabkan para pelajar rosak.
Ini terbukti apabila sebanyak 79 peratus hasil kajian mendapati, remaja tidak membaca al-Quran dan 74 peratus tidak menunaikan solat.
Selain itu, faktor media massa seperti menonton filem lucah, bersembang di internet tentang seks dan melayari laman web seks turut mendorong masalah remaja melakukan hubungan seks tanpa berfikir panjang.
Simposium ini turut mendapat kerjasama daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia, Program Matrikulasi Kanada Antarabangsa (CIMP), Persatuan Suci dan Fakulti Pengajian Subjek Islamik, dari Bahagian Bahasa dan Subjek Wajib, Universiti Kolej Sunway.
No comments:
Post a Comment