Sep 26, 08 5:13pm
Tengku Razaleigh Hamzah, yang berminat merebut kerusi presiden Umno, menyifatkan pelan peralihan kuasa terbaru antara dua pemimpin tertinggi parti itu sebagai "permainan budak-budak yang tidak habis-habis berebut barang kau dan aku".
"Sekarang kita sedar Malaysia menjadi negara yang mempunyai prasarana Dunia Pertama dan politik Dunia Ketiga, dengan para pemimpinnya menjadikan negara ini republik pisang," katanya, mengutip kenyataan perdana menteri yang pernah menggesa rakyat mempunyai "mentaliti kelas pertama" dengan kemudahan infrastruktur kelas pertama.
"Republik pisang" merupakan istilah sindiran, asalnya merujuk kepada perkembangan di Amerikan Latin, kepada negara yang kurang stabil dan mundur yang dikuasai oleh segelintir elit yang korup, kaya dan pentingkan diri sendiri.
Tengku Razaleigh juga mendakwa dua pemimpin negara itu terlalu ghairah dengan perebutan kuasa sehingga mengabaikan aspek perundangan dan kerosakan yang ditimbulkan mereka ke atas negara ini.
"Bukannya menumpukan pada perancangan ekonomi negara atau sebarang reformasi, sebaliknya apa yang kepemimpinan Umno berikan kepada kita sejak (pilihanraya umum) 8 Mac hanyalah pelan peralihan kuasa yang direka untuk menyelamatkan dua orang daripada serba salah menghadapi pemilihan (Umno)," katanya, dalam satu kenyataan pendek tetapi pedas.
"Kerjaya politik mereka kelihatan lebih penting daripada masa depan negara ini.
"Mereka berdua menjadikan Malaysia bahan lawak masyarakat antarabangsa."
Beliau, yang juga ahli parlimen Gua Musang, mengulas keputusan penuh teka-teki Majlis Tertinggi (MT) pagi ini yang tiba-tiba memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung Umno ke tahun depan.
MT juga dimaklumkan bahawa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman penting menjelang pemilihan bahagian 9 Oktober ini sama ada akan bertanding atau tidak dalam pemilihan parti Mac 2009.
Dengan nada seumpama tokoh veteran Umno itu, pemimpin utama DAP Lim Kit Siang menyifatkan Abdullah dan Najib terlalu mempedulikan "masa depan politik Abdullah dan ketua-ketua juak Umno, yang tidak mempunyai masa atau idea memikirkan pelbagai krisis keyakinan yang dihadapi negara ini" sejak 8 Mac.
http://www1.malaysiakini.com/news/90468
No comments:
Post a Comment