Friday, September 26, 2008

Mesyuarat tergempar MT esok

Sep 25, 08 2:59pm

kemaskini 8:39pm Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno akan diadakan jam 10 pagi esok, dipercayai untuk membincangkan penangguhan pemilihan parti, yang dijadual Disember ini, ke tahun depan.

Ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengesahkan pertemuan tersebut kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun mendakwa tidak mengetahui agenda yang akan dibincangkan.

Mesyuarat di bangunan parti itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu juga dijangka membahaskan saranan untuk menyegerakan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya setahun lebih awal.

Pada asalnya, Abdullah dan Datuk Seri Najib Razak merancang pelan peralihan kuasa itu akan berlangsung pada pertengahan 2010.

Walaupun enggan mengulas sama ada perkara ini menjadi satu agenda pertemuan esok, seorang lagi anggota MT Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Malaysiakini, Umno kini terbelah dua kepada dua kem.

Satu pihak bersetuju dengan pelan tersebut, sementara satu lagi ingin menyegerakannya.

Beberapa anggota MT, termasuk tiga pemimpin kanan Umno, bersuara dalam pertemuan bulanan majlis itu Khamis minggu lepas agar tarikh peralihan kuasa Abdullah-Najib dipercepatkan.

Ahli-ahli MT Umno dihubungi pagi ini untuk menghadiri mesyuarat mengejut itu selepas pertemuan dua tokoh tertinggi negara hari ini.

Bercakap kepada pemberita di Kementerian Kewangan petang ini, Najib juga mengesahkan mesyuarat MT akan diadakan esok tetapi enggan menjawab sebarang soalan mengenai perkembangan politik.

"Soalan mengenai politik hanya akan dijawab esok," katanya, apabila ditanya menyegerakan peralihan kuasa dan penangguhan pemilihan agung Umno seperti desas-desus.

Najib semalam membatalkan secara mengejut lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, yang sepatutnya bermula hari ini, untuk menghadiri sidang ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di PBB, New York, Ahad ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/90368

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...