Friday, September 26, 2008

Najib 'tutup mulut' tentang pelan peralihan kuasa

Sep 25, 08 4:22pm

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini enggan menjawab sebarang soalan politik, sambil berkata ianya hanya akan dijawab esok.

Sehubungan itu, Najib yang timbalan presiden Umno, mengesahkan bahawa Majlis Tertinggi (MT) akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Bercakap kepada pemberita di Putrajaya petang ini, beliau bagaimanapun mengelak menjawab soalan mengenai khabar angin bahawa pemilihan parti mungkin ditangguhkan hingga tahun depan.

"Soalan mengenai politik hanya akan dijawab esok," katanya.

Reaksi Najib itu memanaskan lagi spekulasi mengenai status kepimpinan Umno.

Najib semalam membatalkan secara mengejut lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat, yang sepatutnya bermula hari ini, untuk menghadiri sidang ke-63 perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Beliau digantikan oleh Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai ketua delegasi Malaysia untuk menyampaikan ucapannya di PBB, New York, Ahad ini.

Sebelum ini, pihak media dimaklumkan bahawa Majlis Tertinggi Umno akan mengadakan mesyuarat tergempar esok.

Khabar angin bertiup kencang bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi - dalam usaha untuk mengelak cabaran terhadap jawatan presiden - telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan Umno ke tahun depan.

Juga timbul desas-desus yang mengatakan Abdullah mungkin akan menyerahkan kuasa kepada Najib tahun depan - setahun lebih awal daripada pelan peralihan 2010.

Mulai 9 Oktober hingga 9 November depan, semua 191 bahagian Umno akan mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing di mana mereka akan membuat pencalonan bagi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden serta bagi kerusi MT.

Manakala pemilihan bagi peringkat pusat ialah pada 16-20 Disember depan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90378

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...