Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my
AZEEZ (kanan) berbincang dengan Ahmad mengenai misi mereka membawa pulang Norfadillah di Kuala Lumpur semalam.
---------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR – “Apok, bila abah nak datang... datanglah ambil saya dekat Lombok, saya nak sambut raya dengan mak, abah, saya sedia sambut abah dekat sana, datang le cepat.”
Itulah antara permintaan Norfadillah Ahmad, 18, yang dipercayai mencuri-curi pakai telefon bimbit milik pemuda yang melarikannya ke Lombok bagi menghubungi bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, semalam.
Gadis itu membuat tiga panggilan dengan talian terputus-putus pada 1.48 petang, 2.02 petang dan 2.10 petang semalam.
Ia juga panggilan pertama kepada bapanya itu selepas hanya berani menelefon adiknya, Norfarawahida sejak hilang pada 3 September lalu.
Kepada Ahmad, panggilan dengan nada suara lemah Norfadillah itu menandakan anak sulungnya itu yang kini dalam perhatian keluarga pemuda yang hanya dikenali sebagai Nasruddin, kian mencurigakannya.
KERATAN Kosmo! 25 September.
-------------------------------------------------------------
Ahmad yang ditemui pejabat Sekretariat Pengaduan Awam dan Pembelaan Masyarakat di sini semalam yakin nombor telefon itu milik Nasrudin.
“Saya dapat cakap sekejap-kejap saja sebab rasanya telefon itu dirampas dan dimatikan, mungkin dia curi-curi pakai,” beritahu Ahmad.
Katanya, dalam setiap panggilan itu, anaknya mengulangi permintaan untuk pulang ke Malaysia untuk menyambut lebaran bersama keluarga.
“Dia langsung tak sebut pasal kahwin... saya pun hairan dan saya rasa kemungkinan dia dipukau dan baru sedar dia kat mana dan apa yang berlaku padanya,” kata Ahmad.
Beliau juga dapat merasakan daripada suara itu, anaknya dalam keadaan lemah dan ini terbukti apabila Norfadillah mengakui dia demam dan masih menetap di rumah nenek Nasrudin di Lombok.
“Dia beritahu dah rindukan mak dan adik-adik,” katanya sambil memberitahu walaupun percakapan hanya berlangsung sekejap, ia cukup syahdu dan begitu menyentuh perasaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Norfadillah, seorang operator di kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor telah hilang, disyaki dilarikan oleh kekasihnya ke Lombok.
Sebelum ini gadis itu dilaporkan enggan berkahwin dengan Nasrudin tetapi keadaan mula mendesak apabila gadis itu mendakwa dia semakin dipaksa bernikah.
http://www.kosmo.com.my/26092008
No comments:
Post a Comment