Friday, September 26, 2008

Muhyiddin: Tidak jejas wibawa PM


Abdul Rahim Sabri Sep 26, 08 2:10pm

dikemaskini Pelan peralihan kuasa terbaru yang diputuskan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini tidak akan menjejaskan kewibawaan presidennya dan ia berlangsung secara terhormat, kata seorang naib presidennya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berharap keputusan terbaru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk membuat pengumuman penting bulan depan, sebelum mesyuarat bahagian bermula 9 Oktober, akan "diterima baik oleh ahli-ahli Umno."

"Keputusan itu mengambil kira sentimen dan pandangan akar umbi bahawa beliau memikirkan ini pendekatan terbaik.

"Apapun keputusan yang dibuat ia mesti tidak menjejaskan perpaduan di dalam parti dan yang kedua, kita nak memastikan proses peralihan kuasa itu tidak menjejas kewibawaaan presiden.

"Ia mesti dibuat secara terhormat," katanya.

Muhyiddin berharap keputusan hari ini boleh diterima baik oleh ahli Umno di seluruh negara kerana dibuat atas pertimbangan yang bijaksana oleh presiden parti.

"Saya harap keputusan-keputusan yang dibuat atas sebab-sebab yang berpatutan ini walaupun pemilihan ini dilewatkan sehingga Mac tahun depan.

"Maka ahli-ahli seluruh negara tidak merasakan ini menyalahgunakan kedudukan dan kuasa.

"Keputusan ini mengambil kira sentimen, pandangan akar umbi," katanya selepas mesyuarat tergempar MT pagi ini di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mengulas sama ada Abdullah memutuskan akan bertanding atau tidak dalam pemilihan kali ini, Muhyiddin berkata:

"Bukan hak saya untuk berkata perdana menteri akan bertanding (jawatan presiden). Tunggu supaya presiden sendiri buat pengumuman.

"Apa yang penting ialah pengumuman itu dibuat sebelum mesyuarat bahagian bersidang kerana bahagian mahu isyarat jelas sama ada presiden akan bertanding atau tidak.”

Beliau enggan mengulas lanjut pengumuman penting yang akan dibuat oleh Abdullah.

Ditanya sama ada beliau berpuas hari dengan pelan peralihan kuasa yang kelihatan kabur itu, Muhyiddin berkata:

"Saya fikir kita harus ada kepercayaan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh pemimpin hari ini.

"Jangan membuat spekulasi yang bukan-bukan terhadap keputusan itu."

http://www1.malaysiakini.com/news/90439

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...