Friday, September 26, 2008

PM, Najib adakan pertemuan empat mata pagi ini

Sep 26, 08 11:02am


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata selama setengah jam sebelum Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) Umno bermula di ibupejabat Umno di ibunegara pagi ini.

Bertemuan itu berlangsung dari jam 10.30 pagi hingga 11 pagi. Mesyuarat MT bermula sejurus kemudian.

Ekoran itu timbul desas-desus yang mengatakan kedua-dua pemimpin tersebut telah memuktamadkan tarikh sebenar peralihan kuasa.

Mesyuarat hari ini, menjadi tumpuan ramai kerana ia dijangka menetapkan tarikh sebenar dan lebih awal peralihan kuasa dalam parti itu dan kerajaan.

Sebelum ini, Abdullah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Najib pada pertengahan 2010.

Sehubungan itu, Abdullah mencadangkan agar tiada pertandingan bagi jawatan presiden yang disandangnya dan jawatan timbalan presiden.

Bagaimanapun, pemimpin akar umbi Umno tidak sekata mengenai tarikh tersebut dan banyak yang mendesak supaya tarikh itu dipercepatkan lagi.

Malah, sebahagian Umno bahagian, yang dijadual mesyuarat mulai 9 Oktober ini, secara terbuka mahu mencadangkan calon lain untuk jawatan presiden.

Dan regu pilihan mereka ialah Najib dan Tan Sri Muhyiddin, masing-masing bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.

Ternyata perkembangan itu membimbangkan beberapa pihak dalam Majlis Tertinggi (MT) sendiri, sehingga yang mencadangkan Abdullah tidak bertanding kerana bimbang tidak mendapat pencalonan mencukupi.

Untuk layak mempertahankan jawatan presiden, Abdullah mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 30 peratus atau 58 pencalonan daripada bahagian. Umno mempunyai 191 bahagian.

Malah, ketika bertemu dengan ketua-ketua bahagian Umno di Selangor kelmarin, mereka dengan jelas memberitahu Abdullah bahawa mereka akan menyokong pelan 2010 jika semua ahli MT sepakat menerimanya.

Oleh itu, mesyuarat hari ini yang dipanggil saat-saat terakhir semalam, dijangka memuktamadkan tarikh sebenar peralihan kuasa dari Abdullah kepada Najib.

Ia juga dijangka membincangkan saranan supaya pemilihan parti itu - yang dijadualkan pada 16-21 Disember depan - ditangguhkan sehingga tahun depan dan begitu juga dengan mesyuarat bahagian.

Perhimpunan agung Umno ditangguhkan selama 18 bulan ekoran pilihanraya umum 8 Mac lalu. Parti itu mempunyai sehingga bulan Mei tahun depan untuk mengadakan perhimpunan agung.

Apa juga pun, mesyuarat MT hari ini diharap akan memberi jawapan kepada semua teka-teki tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/90417

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...