Friday, September 26, 2008

Shafie sokong semua jawatan dipertandingkan

Rahmah Ghazali Sep 25, 08 3:04pm

Timbalan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Shafie Apdal turut menyokong saranan ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Rais Yatim supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dibenar dipertandingkan.

"Saya menyokongnya kerana ia terdapat dalam perlembagaan dan ianya dinyatakan dengan jelas," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Shafie yang juga menteri perpaduan, kebudayaan, kesenian dan warisan berkata, ia merupakan hak setiap ahli dalam perlembagaan untuk bertanding.

Semalam, Rais yang juga menteri luar berkata di Washington bahawa dua jawatan tertinggi itu harus dibenar dipertandingkan untuk mengukuhkan proses demokrasi dalam parti.

Rais dilaporkan berkata, Umno amat memerlukan proses demokrasi yang mantap dan "saya berada dalam kumpulan di mana (jawatan) presiden dan timbalan presiden sepatutnya dicabar," katanya.

Shafie yang juga ketua Umno Semporna, turut bersetuju ia diserahkan kepada akar umbi untuk menentukan sama ada kedua-dua jawatan tersebut harus dipertandingkan atau tidak.

Katanya, pemilihan dalam parti merupakan satu proses demokrasi yang sudah termaktub dalam perlembagaan Umno dan setiap tiga tahun pasti akan dilakukan.

Beliau juga yakin bahawa ia dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan mendapat sokongan sepenuhnya ahli bagi memperkukuhkan parti.

Shafie menegaskan bahawa suara akar umbi memainkan peranan utama untuk melaksanakan proses demokrasi sedia ada.

"Ini adalah satu langkah baik dan ahli Umno boleh menggunakan hak mereka untuk menentukan hala tuju parti," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/90370

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...