Friday, September 26, 2008

"Saya tak pernah lompat" Abdullah


Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

26 Sep 2008 3:51PM


KL: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan bahawa beliau akan mengambil cuti berikutan keputusannya untuk mengawalkan peralihan tampuk kepimpinan parti dan kerajaan.

"Saya akan bercutikah? Macam mana anda tahu?

"Tidak. Saya tidak akan bercuti. Saya ada banyak kerja untuk dibuat," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno di sini pagi ini.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menangguhkan Perhimpunan Agung Tahunan Umno dan pemilihan Disember ini sehingga Mac depan.

Abdullah dilantik sebagai Perdana Menteri dan memangku jawatan Presiden Umno pada Oktober 2003.

Beliau turut ditanya sama ada bersedia melakukan pengorbanan demi kebaikan dan kepentingan parti dengan melepaskan jawatan yang disandangnya.

Abdullah berkata, dalam sejarah perjuangannya, beliau tidak pernah mengambil apa juga tindakan yang bertentangan dengan parti kerana beliau menyayangi Umno.

"Bagi saya, saya sayangkan parti sungguhpun ketika melalui waktu yang sukar. Saya tidak pernah meninggalkan Umno. Saya tidak menyertai Umno 46 (Semangat 46), saya tidak menyertai parti lain.

"Saya tidak pernah berada pada platform manamana parti pembangkang demi kepentingan peribadi menentang Umno. Tidak ada rekod saya menentang parti langsung pada bilabila masa pun," katanya.

Abdullah juga ditanya sama ada Umno mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan presiden selama tiga penggal seperti yang diamalkan MCA ketika ini.

Menurut Perdana Menteri, Umno tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berbuat demikian.

"Kita tak buat sebarang keputusan mengenainya dan belum ada dasar yang berkaitan mengenainya," katanya.

Perdana Menteri turut menyifatkan semua ucapan dan pandangan yang dibuat oleh anggota MT sebagai menyambut baik keputusan untuk menunda tarikh Perhimpunan Agung parti ke bulan Mac depan.

Ditanya mengenai pertemuan beliau dengan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang meminta agar lima pemimpin Hindraf yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan, Abdullah berkata, perkara itu terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri.

"Itu adalah perkara yang di bawah Kementerian Dalam Negeri dan saya telah pun menyerahkan surat (mengenainya) kepada menteri yang berkenaan," katanya tanpa menjelaskan kandungan surat itu. / Mstar

http://www.klpos.com/news/2008/09/26/7.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...