Wednesday, January 28, 2009

Iman dalam fotografi

Kepulangan daripada kembara jiwa ke India pada tahun 1971 menemukan Peter Sanders dengan beberapa teman seangkatan yang telah memeluk Islam, sementara yang selainnya terus hanyut dalam perangkap alkohol dan dadah. Dalam hati jurugambar ini tercetus satu persoalan: Jalan hidup manakah yang perlu dipilih?



--------------------------------------------------------------------------------


ADA sesuatu yang ingin disampaikan melalui himpunan foto yang kini dipamerkan di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Sebanyak 40 hasil rakaman lensa kamera dengan tarikan judul The Art of Integration: Islam in Britain (Seni Perpaduan: Islam di Britain) sedang rancak bercerita di dinding muzium itu.

Semua foto tersebut adalah sentuhan jurugambar Peter Sanders, 63. Peristiwa dalam pelbagai jalur kehidupan serta harapan yang diterjemah daripada ribuan wajah komuniti Islam di tanah Eropah itu seakan-akan refleksi dirinya sendiri. Setiap satunya mengembalikan Peter ke sebuah perjalanan yang suatu ketika dahulu pernah ditempuhinya.

Peter Sanders dilahirkan di London pada tahun 1946. Waktu mudanya seiring dan sinonim dengan ledakan nama-nama masyhur dunia hiburan tahun 60-an. Di sebalik produksi hiburan, pentas persembahan dan gaya hidup artis rock n roll yang terserap dalam jiwa jutaan komuniti hippies, nama Peter turut melonjak.


--------------------------------------------------------------------------------

Peri kewujudan Sanders sama setara dengan selebriti lantaran dia punya reputasi mengambil gambar bintang-bintang taraf legenda dan super dalam bisnes muzik seperti Bob Dylan, Jimi Hendrix, The Doors, The Who, dan The Rolling Stones. Ikon rock pop, The Beatles juga tidak terkecuali.

Berlaga bahu dengan selebriti sudah menjadi perkara lazim dalam pesta keramaian yang entah bagaimana akhirannya. Era itu, seperti yang diingati Sanders, sebati dengan hiburan sepanjang masa, kebebasan seks, alkohol dan juga penyalahgunaan dadah.

“Evolusi hiburan zaman itu menghanyutkan ramai anak muda. Hingga pada penghujung tahun 1970-an, saya menyedari ada sesuatu yang kosong dalam hidup saya. Merakam foto dalam industri hiburan tidak lagi menyeronokkan, malah membosankan,” ujarnya jujur dalam lembut bicara.


SEORANG wanita berkelubung burqa menyolekkan seorang model.

--------------------------------------------------------------------------------

Dalam keterdesakan mencari jawapan kepada banyak cabang persoalan mengenai kehidupan, Sanders meninggalkan bumi England untuk mengembara ke India.

“Pada zaman itu, seakan menjadi trend ramai untuk memijakkan kaki ke India jika bercakap tentang pencarian pedoman hidup. Destinasi itu selari dengan konsep pencarian spiritual,” kata Sanders yang menghabiskan masa selama kira-kira tujuh bulan menjelajah negara populasi padat Asia Selatan itu.

Dia memberitahu, dia pernah bermalam di ashram dan mengunjungi kuil untuk berguru dengan sami Hindu. Malah, sepanjang tempoh itu juga, dia sempat mempelajari serba sedikit tentang agama lain seperti Sikh, Buddha dan juga Islam. Namun, semua itu tidak secara mendalam.


RUTIN kerja pereka fesyen Muslim turut mencuri perhatian Sanders.

--------------------------------------------------------------------------------

“Sekembalinya saya ke England, saya dapati ada beberapa teman seangkatan yang sudah memeluk Islam. Hidup mereka kelihatan tenang dan terarah. Mereka tidak pula menjauhkan diri daripada saya,” imbasnya.

Pada masa yang sama, situasi bertentangan juga sedang terjadi. Sebahagian lagi teman-temannya, termasuk beberapa selebriti, terus tenggelam dalam dunia penuh kepura-puraan. Dijerat nafsu ketagihan pada alkohol dan dadah, ada yang berakhir nyawa dalam penipuan itu.

“Saya menyedari Tuhan sedang berdialog dengan saya. Dia ingin menduga, jalan manakah yang hendak saya pilih?” kata Sanders yang memeluk Islam pada tahun 1971 dan mengambil nama Abdul al-Adheem.

“Keputusan memeluk Islam dilakukan tanpa banyak mengetahui tentang ajarannya. Ketika itu, tiada sumber yang tepat di Barat untuk bercakap mengenai Islam,” ujarnya yang sanggup mengembara hingga ke Maghribi untuk berguru dengan pemimpin Sufi, Sheikh Muhammad al-Habib.

Tiga bulan kemudian, Sanders membuat satu lagi keputusan drastik jika hendak dibandingkan dengan tempoh pengislamannya. Dia mahu mengerjakan ibadat haji, seperti mana disyorkan gurunya yang turut ingin menemani.


ILUSI cetusan lensa menemukan seorang lelaki dengan Imam Ghazali.

--------------------------------------------------------------------------------

“Jalan mengerjakan haji bagai dipermudahkan. Biarpun tanpa wang mencukupi, ramai tampil membantu. Bagai diatur sempurna, langkah saya ke Mekah juga secara tidak sengaja ditawarkan oleh sekumpulan kenalan yang kebetulan mempunyai lebihan tiket perjalanan,” katanya yang turut memberitahu gurunya itu telah meninggal dunia sebelum sempat bersamanya di Mekah.

Satu objek penting tidak dapat ditinggalkan terus di England. Kamera milik Sanders digalas sama. Bukan suatu yang sia-sia, kedatangannya ke Tanah Suci pada tahun 1971 itu dianugerahkan peluang istimewa oleh pihak berkuasa Arab Saudi. Dia dibenarkan mengambil gambar jemaah haji sepanjang perjalanan mengerjakan ibadat tersebut.


GAMBAR di estet Glencarron, Scotland ini menunjukkan kubur Lady Evelyn Zainab Cobbold yang dipercayai wanita Inggeris pertama yang mengerjakan haji pada tahun 1933. Dia mengerjakan haji pada usia 65 tahun.

--------------------------------------------------------------------------------

“Oh, bukan mudah sebenarnya. Puas saya turun naik banyak bangunan pejabat di Jeddah dan Mekah untuk mendapatkan kebenaran khas itu,” ulas Sanders.

Gambar-gambar yang diambilnya mendapat sambutan hebat apabila tersiar dalam penerbitan akhbar dan majalah seperti Sunday Times, The Observer dan pelbagai jurnal lain.

Bagi lelaki ini, kejayaan tersebut bukan sekadar rekod peribadi kembaranya, malah telah melebarkan perspektif mengenai Islam yang selama ini asing bagi orang Barat.


MENGABADIKAN karisma seorang teman lama Sanders, Yusuf Islam.

--------------------------------------------------------------------------------

“Cuma, saya mengerti kini bahawa dua kerja itu tidak boleh dibuat serentak. Kalau saya ke Mekah lagi, saya perlu memilih – hendak mengerjakan haji atau bertugas secara rasmi sebagai jurugambar.

“Ia tidak boleh disatukan. Ibadat haji memerlukan tumpuan sepenuhnya,” katanya yang memperisterikan Hafsa, dan dikurniakan lima cahaya mata.

Sanders turut bercerita tentang Lady Evelyn Zainab Cobbold, iaitu seorang warga Scotland yang dipercayai wanita Inggeris pertama yang mengerjakan haji pada tahun 1933.

Malah, untuk tatapan pembaca EKSTRA, Sanders sempat meminta isterinya di London menghantar e-mel bersisipan gambar kuburan Lady Evelyn yang pernah diambilnya.

“Bayangkan di bumi dan tahun yang tiada sumber terdekat tentang Islam, sinarnya berjaya merangkul hati seorang wanita aristokrat,” ujarnya mengulas tentang hidayah Allah.

Nyata bagi Sanders, iman dan fotografi menjadi sebahagian daripada perjalanan spiritualnya. Niat mencari erti kehidupan telah membawa bidikan lensa kameranya ke dalam cahaya Islam dan kemudian ke pintu Kaabah.

Masih gagah dalam usia emas, pengembaraan ke serata dunia berbekalkan kamera belum lagi berakhir.

Baik Eropah, Timur Tengah, Afrika hinggalah ke Asia Timur seperti China dan Jepun, dia terus setia mengabadikan detik, peristiwa, wajah dan budaya yang terbentuk daripada ajaran Islam.

Daripada mengambil gambar idola hiburan tersohor hinggalah kepada tempat-tempat suci orang Islam di seluruh dunia, Peter Sanders mensyukuri setiap saat dan sisa hidupnya kini.

“Fotografi adalah senjata saya untuk menerangkan kepada dunia tentang keindahan Islam. Kemahiran dan kepuasan ini adalah anugerah Allah buat saya.”

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...