Wednesday, January 28, 2009
Wanita makin berani jual diri
Oleh Muhd Izawan Baharin
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Laman web rangkaian sosial yang sebelum ini popular di kalangan remaja untuk mencari kenalan kini menjadi satu medan mencari pasangan seks.
Pemerhatian mendapati selain lelaki, terdapat juga segelintir wanita ‘melelong’ diri untuk mencari pasangan seks dengan menyiarkan gambar mereka dalam keadaan mengghairahkan dan separuh bogel termasuk kata-kata berahi untuk menarik perhatian lelaki.
Tindakan mereka itu berjaya menarik perhatian ribuan lelaki yang cuba memikat dengan kata-kata atau gambar lucah.
Selain mencari pasangan di kalangan lelaki, ada juga wanita bernafsu songsang menggunakan laman web berkenaan untuk memikat kaum sejenis.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada gambar yang digunakan itu gambar individu terbabit atau ‘dicedok’ di tempat lain.
Apa yang dikesalkan, ada di kalangan mereka yang berusia antara 18 hingga 30 tahun itu tanpa segan silu mengaku Islam sedangkan pada masa sama cuba menarik perhatian dengan koleksi gambar separuh bogel.
Laman web berkenaan turut digunakan seorang wanita berusia 27 tahun untuk mengiklankan dirinya bagi memilih seorang lelaki ‘budiman’ untuk diajak keluar dengan menggunakan modal gambar separuh bogel serta aksi ghairahnya.
Wanita itu yang menyiarkan nombor telefon bimbitnya itu mendakwa hanya akan menjawab satu panggilan dari seorang lelaki yang disifatkannya ‘bertuah’ untuk keluar bersamanya.
Tidak dapat dipastikan tujuan sebenar wanita terbabit ‘melelong’ dirinya sama ada mahu mencari teman lelaki atau sekadar suka-suka.
Bagaimanapun tindakannya itu berjaya menarik perhatian ribuan lelaki yang cuba memikatnya termasuk menyiarkan gambar lucah.
Malah tindakan wanita yang mendakwa bekerja sebagai eksekutif pemasaran produk herba menyiarkan gambar separuh bogelnya mendapat pelbagai komen lucah daripada lelaki termasuk berhasrat mahu menidurinya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, berkata perbuatan melelong diri menggunakan platform Internet bukan perkara baru, namun ia dilihat secara terang-terangan mempersendakan Islam.
“Saya lihat ramai remaja kita sekarang menghadapi krisis identiti. Mereka tidak tahu arah tuju kehidupan dan hanya mahu berseronok tanpa memikirkan masa depan.
“Mereka beragama Islam kerana keturunan tapi langsung tidak menghayati Islam malah tidak tahu hukum halal haram. Mereka tidak tahu natijah daripada perbuatan mereka itu yang boleh memberi kesan kepada umat Islam lain,” katanya yang dihubungi semalam.
Beliau berkata, Pekesim memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan akidah serta kesucian Islam.
“Namun kami akui amat sukar untuk membendung gejala sosial di kalangan remaja Islam dan ia memerlukan sokongan semua pihak daripada kerajaan terutama ibu bapa,” katanya.
Menurutnya, semua pihak harus berganding bahu untuk memberi didikan serta bimbingan kepada golongan muda kerana ujian iman pada zaman ini amat hebat.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085849/Article/index_html
No comments:
Post a Comment