Wednesday, January 28, 2009
Sengsara suami orang Medan - Remaja hubungi keluarga setiap hari mahu pulang segera ke Malaysia
Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my
ABDUL AZEEZ (tengah) menenangkan Saad pada pertemuan mereka sambil diperhatikan Ahli Dewan Undangan Negeri Belantik, Tajudin Abdullah di Alor Setar semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
ALOR SETAR - Demi cinta, seorang remaja sanggup meninggalkan ibu bapanya di Belantik, Sik dekat sini semata-mata untuk bersama lelaki warga asing di Medan, Indonesia.
Namun, setelah berada selama dua tahun di negara itu dan dipercayai telah berkahwin dengan lelaki berkenaan, remaja itu, Norjumaiah Saad, 17, kini tidak keruan dan berhasrat untuk kembali bersama keluarganya di Jalan Empangan Muda, Belantik, Sik.
Bapanya, Saad Ahmad, 61, berkata, anaknya lari mengikut lelaki itu, Suranto Ngadio, 30-an, semasa belajar dalam Tingkatan Empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau, Sik. Dia hilang sebelum Hari Raya Aidiladha pada tahun 2007 kononnya untuk pergi berkelah dengan kawan-kawannya di Baling.
"Saya benarkan dia pergi, tetapi sejak itu dia tidak pulang-pulang. Sebulan selepas itu dia telefon kata dia dah berada di Medan, Indonesia dan nak kahwin di sana,'' katanya kepada pemberita di sini semalam. Dia percaya anaknya masuk ke Indonesia secara haram.
Saad sebelum itu bertemu dengan Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim untuk meminta bantuan sekretariat itu membawa pulang anak gadisnya ke pangkuan keluarga.
Menurut Saad, anaknya itu merayu sejak bulan Ramadan lepas untuk dibawa pulang kerana tidak sanggup lagi hidup dalam kemiskinan di Indonesia.
"Boleh kata tiap-tiap hari dia hubungi saya, suruh saya bawa dia pulang, tetapi saya tiada duit sebab hanya bekerja kampung. Dia kata sudah tidak tahan tinggal di sana sebab pendapatan Suranto yang bekerja kampung hanya RM6 sehari.
"Dia kata, hari-hari dia hanya makan mi segera dan roti dan suaminya tidak mampu untuk membeli susu anak,'' tambahnya.
Menceritakan mengenai anaknya itu, Saad berkata, Norjumaiah dipercayai berkenalan dengan lelaki Indonesia itu yang bekerja sebagai penoreh getah di ladang Felcra berdekatan kampungnya pada 2007.
"Saya memang kenal lelaki itu dan tidak sangka pula kini dia sudah jadi menantu saya,'' ujarnya.
Beliau memberitahu, Norjumaiah juga dikatakan telah mempunyai seorang anak perempuan berusia sembilan bulan hasil perkahwinannya dengan lelaki Medan itu.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0128&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm
No comments:
Post a Comment