Jan 24, 09 3:36pm
M Muthupalaniappan yang mahu mencabar Datuk Seri S Samy Vellu untuk jawatan presiden MIC, telah dipecat.
Bagaimanapun, beliau masih boleh merayu dalam masa 14 hari dari tarikh 'surat pemecatannya' yang diterimanya dari lembaga disiplin parti itu pada 21 Januari.
Menurut surat tersebut, Muthupalaniappan, 68, dipecat kerana melanggar prinsip parti dan bertindak secara yang memudaratkan kepentingan parti.
Dalam surat tersebut, pengerusi jawatankuasa disiplin itu, G Vadiveloo berkata Muthupalaniappan dipecat berkuat serta merta.
Pemecatan beliau bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bekas naib presiden MIC itu sentiasa membuat kritikan pedas terhadap Samy Vellu.
Sejak mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, Muthupalaniappan mengkritik Samy Vellu yang didakwa bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum pada Mac 2008.
Sehubungan itu, tindak tanduk beliau itu didakwa bertentangan dan memudaratkan kepentingan MIC dan diberi surat tunjuk sebab.
Bagaimanapun, para pemerhati mendakwa ia mungkin satu usaha untuk memastikan Samy Vellu tidak dicabar untuk jawatan presiden.
Dalam surat tunjuk sebab bertarikh 23 Disember lalu, bekas naib presiden MIC itu dituduh membuat dakwaan tidak berasas terhadap kepimpinan parti dalam satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai November lalu dan dalam wawancara ekslusif dengan Malaysiakini bulan lalu, di mana beliau antara lain, bercakap penutupan dan penubuhan cawangan MIC untuk tujuan politik.
Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, Muthupalaniappan tidak kisah dengan perkembangan terkini itu.
Katanya, beliau "gembira kerana sudah tiba masanya untuk saya tidak lagi menjadi ahli MIC.
"Jika saya terus menjadi ahli, saya juga akan dituduh pengkhianat kepada masyarakat, Barisan Nasional dan negara keseluruhanya".
Beliau sekali lagi mengecam Samy Vellu dan menuduhnya menggunakan jawatan presiden MIC sebagai "perisai".
"Saya berharap akhirnya akar umbi MIC akan mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi," katanya.
Muthupalaniappan yang menjadi pengerusi MIC Negeri Sembilan selama 16 tahun, bagaimanapun berkata beliau telah banyak membawa kemajuan, perubahan dan manfaat kepada masyarakat India dan di negeri itu dan dihargai oleh masyarakat india di negeri itu.
"(Tetapi) itu MIC dulu," katanya.
http://www1.malaysiakini.com/news/97105
No comments:
Post a Comment