Wednesday, November 3, 2010

2 individu saman syarikat kosmetik Sosilawati

2010/11/03



KUALA LUMPUR: Dua ahli perniagaan memfailkan saman
terhadap syarikat Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, milik jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya atas dakwaan melanggar perjanjian jual beli sebidang tanah yang mempunyai kedai pejabat bernilai RM3 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Dalam saman yang difailkan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di
sini pada 5 Ogos lepas itu, Low Choong Yen, 59, dan Lim Bee Geok, 52, menamakan
Nouvelle Beauty sebagai defendan.

Media memperoleh writ saman itu melalui carian fail di mahkamah hari ini.
Saman itu difailkan 25 hari sebelum Sosilawati, 47, ditemui mati bersama
pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru
Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting pada 30 Ogos lalu.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan
Pendaftar Mahkamah Tinggi Hilmiah Yusof.
Peguam S.H.Tang yang mewakili dua ahli perniagaan itu hadir ketika kes itu
disebut. Bagaimanapun tiada peguam yang hadir bagi mewakili Nouvelle Beauty.

Mahkamah menetapkan 1 Disember ini bagi mendengar permohonan Low dan Lim untuk
memasukkan penghakiman ingkar terhadap Nouvelle Beauty kerana Nouvelle Beauty
gagal memfailkan balasan selepas 14 hari saman dikemukakan kepada mereka.
Permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof.

Dalam writ samannya, Low dan Lim mendakwa mengikut surat tawaran yang
dipersetujui dan ditandatangani oleh pihak atau wakil Nouvelle Beauty, pada 2
April lepas, defendan telah bersetuju untuk menjual sebidang tanah seluas 144.9
meter persegi bersama dengan kedai pejabat empat tingkat yang dibina di tanah
itu, milik Nouvelle Beauty, kepada mereka pada harga RM3 juta.

Low dan Lim berkata mereka telah membayar wang kesungguhan sebanyak RM60,000
semasa surat tawaran jual beli hartanah itu ditandatangani dan baki deposit
sebanyak RM240,000 akan dibayar semasa Perjanjian Jual Beli ditandatangani.
Baki sebanyak RM2,700,000 pula akan dibayar dalam masa 90 hari dari tarikh
Perjanjian Jual Beli ditandatangani, kata mereka.

Mereka mendakwa terma dan syarat-syarat dalam draf Perjanjian Jual Beli
telah dipersetujui dan dijadikan muktamad oleh kedua-dua pihak pada 22 April,
2010.

Mereka berkata selepas sebulan surat tawaran jual beli hartanah itu
ditandatangani, Nouvelle Beauty melalui surat peguamcaranya bertarikh 30 April,
2010, memaklumkan mereka tidak berniat untuk meneruskan transaksi jual beli
hartanah itu kerana mereka dikehendaki menunggu selama enam hingga 12 bulan
untuk mendapatkan kebenaran pindah milik kepada bukan bumiputera serta bagi
menyempurnakan seluruh transaksi jual beli untuk memperoleh harga belian
sebanyak RM3 juta berkenaan.

Low dan Lim mendakwa mereka, melalui satu surat bertarikh 3 Mei, menegaskan
Nouvelle Beauty terikat kepada terma-terma di dalam Perjanjian Jual Beli
hartanah memandangkan kedua-dua pihak bersetuju terhadap terma-terma penjanjian
tersebut.

Mereka mendakwa Nouvelle Beauty pada 25 Mei, 2010, telah memulangkan surat
Perjanjian Jual Beli, suratcara pindahmilik, borang permohonan untuk kebenaran
pindah milik beserta cek plaintif berjumlah RM240,000 kepada mereka.

Mereka berkata Nouvelle Beauty bagaimanapun gagal membayar wang sebanyak
RM60,000 yang dibayar mereka sebagai wang kesungguhan.

Mereka memohon satu perisytiharan bahawa terdapat satu perjanjian yang sah
di antara plaintif dan defendan di mana plaintif telah bersetuju untuk membeli
dan defendan bersetuju untuk menjual tanah itu berasaskan kepada terma-terma dan
syarat-syarat Perjanjian Jual Beli.

Mereka juga memohon perintah mahkamah supaya Nouvelle Beauty meneruskan
pelaksanaan Perjanjian Jual Beli hartanah itu, selain perintah injunksi bagi
menghalang Nouvelle Beauty daripada melupuskan hartanah tersebut kepada orang
lain selain daripada plaintif.

Mereka juga menuntut gantirugi akibat pelanggaran kontrak perjanjian,
faedah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan wajar oleh mahkamah. - BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...