Wednesday, November 3, 2010

Penjenamaan BuraqOil lonjak jualan petrol luar bandar

2010/11/03

KUALA LUMPUR: Penjenamaan semula stesen minyak luar bandar oleh BuraqOil berjaya melonjakkan jualan petrol dan diesel serta meningkatkan pendapatan pengusaha kecil sehingga lebih 100 peratus.

Pengerusi Konsortium Ikatan Pengedar Terus Bumiputera (IPTB) Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Sabaruddin Chik, berkata peningkatan itu diperoleh hasil keyakinan dan kepercayaan pengguna selepas stesen minyak lama dinaikkan taraf daripada segi reka bentuk, penampilan dan kemudahan lebih canggih.

“Imej baru stesen minyak memberikan pulangan tinggi kepada pengusaha dengan keupayaan menjual 10 juta liter sebulan kerana berjaya menarik lebih ramai pelanggan yang pada mulanya agak bimbang mengisi minyak di stesen minyak berkenaan sebelum ini.
“Perubahan ini meyakinkan pengguna dari segi keselamatan mereka kerana kemudahan yang disediakan lebih teratur. Buraqoil amat mengutamakan keselamatan orang ramai ketika di stesen minyak,” katanya pada sidang media bagi memperkenalkan BuraqOil di sini semalam. Turut hadir, Pengarah IPTB, Mohd Khilmi Yusop dan Pengurus Besar BuraqOil, Mohd Nordin Idris.

Sabaruddin berkata, selain menerima sijil ISO 9001 pada 2009 yang menggambarkan sistem pengurusan dan keselamatan yang berkualiti, 32 lori tangki BuraqOil yang membawa petrol dan diesel dilengkapi sistem GPS bagi memastikan tiada penyelewengan subsidi petrol dan diesel berlaku.

“Sehingga kini, terdapat 198 stesen minyak yang menggunakan jenama BuraqOil di sembilan negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Sabah dan Sarawak. Sejumlah 32 stesen sedang dalam proses disiapkan.

“Pada 6 November ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Ismail Sabri Yaakob akan merasmikan satu stesen BuraqOil di Kampung Temoyong, Langkawi,” katanya.

Selain menjual petrol dan diesel yang sama kualitinya dengan yang ditawarkan stesen minyak lain, pengguna boleh menikmati kemudahan seperti kedai mini atau BuraqMart yang menawarkan minuman dan snek untuk pengunjung.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...