Wednesday, November 3, 2010

Pelajar UiTM Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan

2010/11/03

KANGAR: Lebih 8,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dijangka berdepan krisis bekalan makanan, jika banjir yang melanda seluruh negeri sejak malam Ahad lalu terus berlarutan.

Keadaan itu memaksa pihak universiti mencatu bekalan makanan sedia ada untuk memastikan stok sedia ada mampu menampung keperluan semua pelajar untuk tempoh sekurang-kurangnya dua hari lagi.

Pengarah UiTM Perlis, Prof Dr Khudzir Ismail, berkata ketika ini pihak universiti menggunakan sistem kupon untuk mengawal bekalan sedia ada bukan saja kepada lebih 6,000 pelajar yang kini menginap di kampus, malah turut membabitkan pelajar luar kampus.
"Sehingga kini, lebih 1,000 pelajar luar kampus sudah dibawa masuk untuk diberi perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga selepas banjir mula melimpahi sekitar negeri termasuk di Arau.

"Cuma, kita sekarang bimbang bekalan makanan akan terputus memandangkan banyak kedai di sekitar pekan Arau dan bandar Kangar tutup, apatah lagi bekalan sedia ada hanya mencukupi untuk tempoh dua hari saja," katanya.

Sementara itu, lebih 7,000 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberikan cuti sehingga bencana banjir reda, manakala 34 pelajar antarabangsanya pula dipindahkan dari penempatan di taman Aman ke Wang Ulu di Kuala Perlis.

Selain itu, ratusan lagi penuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) kampus Perlis juga dilapor turut terputus bekalan selepas laluan utama sekitar kawasan terbabit mula dinaiki air sehingga paras dada.
Usaha menghantar bekalan masuk ke kawasan terbabit oleh waris juga sukar kerana paras air yang tinggi dan arus deras. Bagaimanapun, tinjauan mendapati ada di kalangan penuntut yang mengambil risiko keluar mengahrungi banjir untuk membeli bekalan makanan.

Difahamkan, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sejumlah 8,042 mangsa banjir membabitkan 2,050 keluarga di seluruh Perlis dipindahkan ke 42 pusat pemindahan yang dibuka, melebihi rekod dicatatkan pada banjir besar 2005 yang melanda Perlis lalu, membabitkan kira-kira 8,000 mangsa.

Berdasarkan tinjauan, paras air di sekitar negeri semakin meningkat dengan lebih banyak lokasi terutama di sekitar Kangar, mula dinaiki banjir.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis, Nishad Mohamed Mohd Shaffy, ketika dihubungi, berkata paras air di sekitar Empangan Timah Tasoh kini semakin menurun ke paras 30 meter berbanding 30.49 meter kelmarin. Bagaimanapun, ia masih diklasifikasikan sebagai melepasi paras bahaya.

"Buat masa sekarang, satu daripada enam pintu di Empangan Timah Tasoh yang dibuka untuk melepaskan air keluar, sudah ditutup dan jika cuaca stabil, kemungkinan besar keadaan akan kembali pulih dalam tempoh dua hari," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...