Wednesday, November 3, 2010

Seludup Rokok: Malaysia Tertinggi Di Dunia

Isnin November 1, 2010

Richard James

KADAR penyeludupan rokok haram di negara ini cukup membimbangkan berikutan satu kajian yang dilakukan oleh Goldman Sachs Group Inc. mendapati Malaysia kini berada pada tangga teratas di dunia berkaitan masalah itu.

Berada pada tahap 37 peratus pada tahun 2009, angka itu turut dijangka meningkat berikutan kenaikan harga rokok yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Philip Moris (Malaysia) Sdn Bhd, Richard James berkata, kenaikan itu akan menyebabkan pasaran rokok haram di negara ini semakin berleluasa.

Katanya, perkara itu dijangka berlaku kerana trend perokok di Malaysia tidak menunjukkan perubahan ketara antara tahun 2006 hingga 2009.

“Perokok sanggup lakukan apa sahaja untuk mendapatkannya walaupun tidak mampu dan tempiasnya terkena kepada industri rokok kerana penyeludupan rokok haram tidak terkawal tambahan pula harga rokok telah meningkat,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, Richard berkata, melalui satu kajian yang dilakukan menunjukkan dengan jelas bahawa walaupun kerajaan telah menaikkan harga rokok sebagai salah satu cara untuk rakyat negara ini berhenti merokok bagaimanapun penurunan peratusan untuk berhenti daripada tabiat itu amat kurang.

Jelasnya melalui statistik selama empat tahun daripada tahun 2005 sehingga 2009 penurunan perokok di negara ini hanya berlaku sekitar 2.9 peratus sahaja.

Katanya lagi, pada tahun 2008, sebanyak 24.4 peratus perokok dicatatkan di negara ini sebelum menurun sedikit kepada 24.1 peratus pada tahun 2009 selepas kerajaan menaikkan harga rokok.

“Melalui statistik ini jelas menunjukkan bahawa kenaikkan harga rokok tidak memberi kesan kepada perokok kerana mereka lebih terarah mencari rokok seludup yang banyak berleluasa di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Richard memberitahu rokok yang di seludup daripada negara jiran terutamanya daripada Indonesia tidak mempunyai piawaian terutamanya kawalan terhadap penggunaan nikotin dan tar di dalam rokok.

Katanya, tidak seperti kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jumlah bahan tersebut diletak mengikut piawaian yang ditetapkan.

“Rokok itu sendiri sememangnya membahayakan kesihatan dan pengambilan rokok seludup yang tidak mempunyai piawaian mengenai bahan kandungannya lebih membahayakan,” katanya.

Sebagai langkah penyelesaian, Richard berkata, kerajaan perlu membuat lebih banyak serbuan secara terus terhadap kedai-kedai yang menjual rokok seludup dan sentiasa membuat tinjauan bagi menghalang peniaga menjual rokok seludup.

Bagaimanapun katanya, badan kerajaan seperti Kastam Diraja Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan tanggungjawab dengan baik bagi membanteras masalah ini.

Beliau turut menyarankan supaya Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) meningkatkan penguatkuasaan bagi membendung masalah penyeludupan rokok haram yang kini semakin membimbangkan.

Pendapatan negara terjejas hampir RM1.5 bilion setahun menerusi duti eksais rokok tidak berbayar berikutan masalah penyeludupan rokok haram.

“Justeru, kami menggalakkan LKTN meluaskan pelaksanaan bagi membantu mengurangkan rokok seludup dalam negara ini,” katanya.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2010/11/1/mstar_mingguan/20101101124355&sec=mstar_mingguan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...