Wednesday, November 3, 2010

Jual gadis genit

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikenali Ibu Riah dikesan menjalankan kegiatan menjual gadis genit pada harga RM10,000 seorang kepada rumah pelacuran atau ejen haram yang membekalkan pembantu rumah di negara ini.

Kegiatan menyeludup dan menjual gadis hamba abdi warga Indonesia terbabit bagaimanapun dibongkar selepas empat gadis malang berkenaan diselamatkan pegawai imigresen Selangor sebaik tiba di negara ini melalui jalan laut. Hasil siasatan, sindiket pemerdagangan manusia terbabit turut didalangi seorang wanita Indonesia dikenali sebagai Ibu Riah berpangkalan di Jakarta, Indonesia yang menjalankan aktiviti membekalkan gadis dari negara jiran berkenaan sejak beberapa bulan lalu. Kegiatan sindiket itu terbongkar apabila Imigresen Jeti Pulau Ketam memberkas seorang kapten kapal dan seorang pemandu teksi dalam satu operasi di Pelabuhan Klang bermula jam 7.30 malam hingga 2.30 pagi, kelmarin.


Dalam serbuan itu, empat wanita warga Indonesia berusia 21 hingga 35 tahun yang menjadi mangsa diselamatkan sepasukan enam pegawai Jabatan Imigresen diketuai Ketua Pejabat Imigresen Jeti Pulau Ketam, M Chandran, yang melakukan risikan dan intipan sejak beberapa minggu lalu.

Sumber imigresen berkata, kegiatan jenayah terancang itu turut dibantu kapten kapal warga Indonesia selain pemandu teksi rakyat tempatan yang dibayar upah tinggi bagi menjalankan misi memindahkan gadis berkenaan.


“Hasil intipan hampir sebulan itu, pihak imigresen menangkap pemandu teksi itu kerana menyediakan pengangkutan membawa masuk warga Indonesia yang tidak memiliki pasport atau dokumen perjalanan.


“Turut ditahan ialah seorang kapten kapal yang menyeludup masuk dan menyediakan kemudahan khidmat pinjaman wang bagi membantu pendatang haram terbabit masuk ke negara ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jualgadisgenit/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...