Friday, December 17, 2010

Dewan Rakyat 2010 Ditangguh Setelah Bersidang 35 Hari

Jumaat Disember 17, 2010

KUALA LUMPUR: Persidangan terakhir Dewan Rakyat tahun ini dicemari kekecohan oleh wakil pembangkang yang membantah pembentangan usul penggantungan ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana cubaan mengelirukan dewan menerusi kenyataan tidak benar.

Mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-12 yang bermula 11 Okt dan berjalan selama 35 hari ditangguh hari ini ke suatu tarikh yang belum ditetapkan.

Pada sesi hari ini, kekecohan berlaku sebaik kerajaan mengemukakan dua usul untuk menggantung empat anggota Parlimen pembangkang termasuk Anwar pada permulaan persidangan pada 10 pagi.

Usul terhadap Anwar dibuat berikutan syor Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang mendapati beliau telah membuat kenyataan tidak benar apabila cuba mengaitkan konsep 1Malaysia dengan kempen One Israel melalui syarikat antarabangsa perhubungan awam dan komunikasi strategik, Apco Worldwide.

Usul untuk menggantung tiga lagi anggota pembangkang terdiri Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) adalah kerana menghina dewan yang juga bersabit dengan isu Anwar dan Apco.

Kesemua empat anggota pembangkang itu digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan berkuatkuasa hari ini. Usul terhadap Anwar diluluskan tanpa bahas kerana Anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan pada pukul 11.30 pagi.

Usul terhadap Karpal Singh, Sivarasa dan Azmin diluluskan setelah empat pembahas, iaitu dua dari Barisan Nasional yang terdiri daripada Datul Abdul Rahman Dahalan (BN-Kota Belut) dan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) dan dua dari pembangkang terdiri Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Wee Chee Keong (Bebas-Wangsa Maju) selesai berucap pada pukul 12.30 tengah hari.

Setengah jam kemudian persidangan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Sepanjang persidangan kali ini, dewan meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Okt lepas.

Ia juga meluluskan tujuh rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2010, Rang Undang-Undang Perbadanan Stadium Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010, Rang Undang-Undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia 2010, Rang Undang-Undang Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2010, Rang Undang-Undang Agensi Inovasi Malaysia 2010, Rang Undang-undang Perbadanan Pengurusan Likuiditi Islam Antarabangsa 2010.

Enam pindaan akta turut diluluskan iaitu Rang Undang-Undang Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia(Pemerbadanan) (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Pemberi Pinjam Wang (Pindaan) 2010 Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, Rang Undang-Undang Bank Simpanan Nasional (Pindaan) 2010 dan Rang Undang-undang Akta Fi (Jabatan Meteorologi Malaysia) (Pengesahan) 2010.

Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010, yang dijadual dibaca untuk kali kedua, ditarik balik daripada Aturan Urusan Mesyuarat pada 12 Okt lepas manakala sembilan rang undang-undang yang disenarai, ditangguh dan akan dibawa ke mesyuarat akan datang. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/17/mstar_berita/20101216191136&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...