Friday, December 17, 2010

PM: Agensi kerajaan perlu berani semak syarat

Dis 16, 10 12:31pm

Datuk Seri Najib Razak berkata, agensi kerajaan perlu berani mengkaji semula syarat atau keputusan yang membabitkan kepentingan umum supaya apa yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Perdana Menteri berkata, ini kerana sebelum ini keputusan yang dibuat mungkin dirasakan tepat namun bila ditetapkan syarat, ia menyukarkan pelaksanaan sesuatu perkara atau projek itu.

NONEDalam Rancangan Malaysia ke-10, Bajet 2011 dan sebagainya, apa yang telah kita cadangkan itu benar-benar dapat dilaksanakan, dan kalau kita dapat tahu sesuatu itu tidak berlaku, kita mesti tahu apa sebabnya.

"Mungkin kelemahan daripada segi kementerian yang mengendalikan, mungkin ada masalah bersabit soal tanah, kegagalan kontraktor atau mungkin disebabkan syarat yang ditetapkan terlalu berat.

"Maka, saya berharap kita mesti ada keberanian untuk mengubah apa yang kita sendiri telah tentukan lebih awal lagi," katanya pada perhimpuan khas bersama warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, mengingatkan agensi pusat bahawa setiap keputusan yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini telahpun diketahui umum, dan menjadi tanggungjawab setiap agensi kerajaan memastikan keputusan yang dibuat itu dapat dilaksanakan.

"Ini merupakan komitmen kerajaan, apa yang telah kita janji...aku janji kerajaan kepada rakyat.

"Saya berharap kita dapat memberi khidmat supaya ia berlaku. Semak balik (syarat atau keputusan yang dibuat), bagaimana sesuatu itu boleh dilakukan dan dilaksanakan," katanya.

Najib berkata kerajaan telah menggariskan agenda kerajaan berpaksikan kepada pelbagai inisiatif seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE) dan Inisiatif Penyelidikan Strategik (SRI), dan agensi kerajaan perlu menterjemahkannya supaya agenda kerajaan itu dapat dicapai.

Perdana Menteri berkata peranan penjawat awam adalah penting dalam melakukan percambahan fikiran supaya dapat mencetuskan idea yang baik dan bernas.

Beliau berkata mereka juga perlu membuat perancangan yang rapi serta membuat keputusan atau mengambil tindakan yang tepat.

Najib berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan Unit Inovasi yang mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan daya inovasi dalam kalangan penjawat awam dalam usaha meningkatkan kualiti, inovasi dan kreativiti.

Selaras dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan kecekapan tenaga di bangunan-bangunan kerajaan, beliauberkata, bangunan Perbendaharan Malaysia, Kompleks Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Akauntan Negara dan Unit Perancangan Ekonomi telah terpilih sebagai perintis oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi program penjimatan tenaga.

"Pemilihan adalah berdasarkan kepada keempat-empat bangunan ini menempatkan agensi pusat kerajaan dan boleh dijadikan contoh yang baik bagi bangunan kerajaan yang cekap tenaga," katanya.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/150952

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...