Friday, December 17, 2010

Terkulai ratapi anak mati

Terkulai ratapi anak mati


Oleh Mohd Razlan Salleh, Junaidi Ladjana, Fardy Bungga dan Norasikin Daineh

BANTU...anggota perubahan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan apabila bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung, semalam.
BANTU...anggota perubahan memberi bantuan kepada mangsa kemalangan apabila bas yang dinaiki mereka terhumban ke dalam gaung, semalam.
KELUARKAN MANGSA...anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terbunuh.
KELUARKAN MANGSA...anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terbunuh.

KOTA KINABALU: Seorang ibu terkulai selepas meratapi kematian anak lelaki kesayangannya, Sabirin Murad, 29, yang terbunuh selepas bas dinaiki bersama 25 kakitangan Jabatan Penjara Tawau terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter, semalam.

Kemalangan ngeri yang meragut empat nyawa itu berlaku di Kilometer 32 Jalan Penampang - Tambunan di sini, kira-kira jam 10.40 pagi.

Sitimah Musah, 55, berkata, kali terakhir dia berbual dengan anaknya itu ketika menghubunginya dua kali iaitu kira-kira sejam sebelum kejadian berlaku.

“Saya terkilan kerana tidak dapat menunaikan permintaan terakhirnya yang bersungguh-sungguh menyuruh menyediakan makan tengah hari di rumah.

“Saya sedih kerana kami memang jarang makan bersama kerana dia bertugas di Tawau dan saya tidak sangka, panggilan dua kali itu adalah kali terakhir saya mendengar suaranya,” katanya ketika ditemui di luar bilik mayat Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, semalam.

Sitimah yang menetap di Kampung Rampaian Manggatal berkata, anaknya ada menghubungi memaklumkan dalam perjalanan ke Kota Kinabalu kira-kira jam 9 pagi.

“Selepas itu, dia menghubungi semula sejam kemudian dan memberitahu sudah berada di Penampang, selain menyuruh seorang adiknya menunggu di Kota Kinabalu," katanya.

Sementara itu, Nurul Syakinah Muslimin Mohammad, 15, berkata, sebelum kejadian, ayahnya, Muslim Mohamad, 36, pemandu kedua bas terbabit yang turut terbunuh ada menyatakan mahu membeli persiapan persekolahan termasuk baju dan kasut baru sebaik tiba di Kota Kinabalu.

“Ayah berjanji untuk berjumpa di Kota Kinabalu tetapi saya terkilan kerana hajat kami berkubur," katanya.

Menurut Nurul Syakinah, beberapa jam sebelum kejadian, dia dihubungi ayahnya yang memberitahu bas dinaiki baru bergerak ke Kota Kinabalu.

“Tidak sampai beberapa jam selepas itu, emak dari Tawau menghubungi saya memberitahu ayah terbabit dalam kemalangan dan saya bergegas ke hospital, tetapi diberitahu ayah sudah meninggal dunia," katanya.

Penumpang bas berkenaan, Moha Hafiz Rahim, 14, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba dan sempat berpaut pada kerusi untuk mengelak terhumban keluar daripada bas yang bergolek jatuh ke dalam gaung.

“Ketika itu terlintas kemungkinan ajal saya sudah sampai apabila menyedari bas mula menjunam ke gaung dan bergolek beberapa kali sebelum berhenti.

“Dalam keadaan kelam kabut itu, saya tidak berfikir apa-apa, selain menyelamatkan diri dan keluar daripada bas berkenaan,” katanya.

Penumpang, Ulil Amri, 28, yang sedang tidur di kerusi penumpang bahagian tengah bas terkejut apabila mendengar jeritan yang mendakwa bas hilang kawalan.

"Selepas itu, saya mendengar dentuman kuat dan bas bergolek beberapa kali. Saya bersyukur kerana tidak cedera serius, cuma sakit di peha dan dada akibat hentakan kuat,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Terkulairatapianakmati/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...