Friday, December 17, 2010

Nasib malang pelarian Tibet




MASYARAKAT Tibet yang hidup dalam buangan di bawah kepimpinan Dalai Lama sangat menjengkelkan China, namun Beijing mempunyai kaedah tersendiri untuk melemahkan gerakan itu, pelarian baru yang kelaparan.

Sebuah asrama yang telah hampir kosong dan kelihatan suram di pusat penerimaan utama bagi pelarian Tibet di Dharamshala iaitu sebuah penempatan atas bukit komuniti India bagi golongan itu, merupakan ilustrasi grafik perubahan yang telah berlaku sejak 18 bulan lalu.

India menjadi pelindung pelarian Tibet sejak tahun 1959 semasa Dalai Lama melarikan diri dari tanah airnya berikutan kebimbangan terhadap keselamatannya selepas kegagalan pemberontakan terhadap kerajaan China di dataran tinggi Tibet.

Sejak itu, beribu-ribu yang lain telah melakukan perjalanan yang sama bahaya ke Dharamshala, sebahagian besar melalui Nepal melintasi pergunungan yang diliputi salji dengan berjalan kaki dan menunggang kuda, menyebabkan jumlah populasi penduduk yang berpindah mencecah sehingga 200,000 orang.

Namun hari ini, jumlah itu berkurangan sedikit demi sedikit. "Sehingga Mac 2008, seramai 2,500 hingga 3,000 orang tiba di sini setiap tahun," kata timbalan pengarah bagi pusat penerimaan di McLeod Ganj, bahagian utama Dharamshala, Mingyur Youdon.

"Sejak Febuari 2008, kami hanya menerima sekitar 1,000 orang."

Bangunan miliknya merupakan pusat pengasingan bagi para pendatang baru di mana mereka ditawarkan tempat tidur, makanan, bantuan kewangan, maklumat tentang sekolah, jika perlu, dan yang paling penting bagi sebahagian besar daripadanya, perkenan Dalai Lama untuk menghadap.

Kesuraman bangunan itu diserikan dengan gambar-gambar senyuman pemimpin spiritual mereka yang berusia 75 tahun itu, yang tinggal di kawasan terpencil di luar bandar yang mempunyai panorama indah di bawahnya itu.

Seorang wanita menangis kesedihan di asrama wanita adalah bukti penderitaan emosi hidup di dalam pengasingan.


SEBAHAGIAN besar wanita yang tinggal di asrama di Dharamshala hidup dalam penderitaan.


Tindakan keras

Jumlah kedatangan pendatang di Dharamshala pada Mac 2008 kian berkurangan, namun ibu negara Tibet itu dipenuhi gelombang penunjuk perasaan yang menentang pemerintahan China. Penentangan itu mencatatkan angka korban dan mereka yang tercedera yang tidak diketahui jumlahnya.

Kerajaan China berkata, seramai 22 orang terkorban dalam keganasan itu, yang merebak dari Lhasa di Tibet dan daerah sekitarnya yang mempunyai populasi besar etnik Tibet. Kerajaan buangan Tibet berkata, terdapat 200 orang yang terkorban manakala 1,000 lagi cedera.

Susulan daripada keganasan yang berlaku, China mengukuhkan cengkaman di benua itu dengan menghantar tentera tambahan dan mengenakan tindakan keras terhadap orang yang disyaki berbeza pendapat atau cuba menyemarakkan rusuhan.

Peningkatan kawalan di sempadan dianggap sangat penting. Beijing juga mendesak Nepal, iaitu sebuah republik kecil antara Tibet dan India untuk menangkap sesiapa yang melarikan diri ke wilayahnya.


KANAK-KANAK Tibet yang hidup dalam buangan membersihkan lantai asrama di perkampungan kanak-kanak Tibet di Dharamshala, India.


"Kami sangat kecewa dengan pihak berkuasa di Kathmandu," kata jurucakap kepada kerajaan buangan Tibet, Tubten Samphel pada satu pertemuan di pejabatnya.

"Kekecewaan itu lebih terserlah apabila Nepal tunduk kepada tekanan China."

Dia berkata, kawalan ketat kini dilaksanakan di sempadan Tibet dan Nepal. Ia merupakan satu-satunya laluan bagi mereka yang mahu melarikan diri dan mendakwa polis China kini mula memasuki wilayah Nepal untuk memburu pelarian.

"Sebab utamanya ialah untuk menghalang informasi daripada tersebar ke seluruh dunia berhubung realiti sebenar yang berlaku di Tibet," katanya.

Di pusat penerimaan asrama lelaki, hanya satu pertiga daripada 70 katil yang kelihatan penuh, sekumpulan sami dan pelarian kelihatan bimbang untuk bercakap dengan wartawan, bimbang jika mereka dihantar pulang.

Di kalangan mereka yang berani bercerita, bayaran untuk penunjuk arah meningkat tiga kali ganda semasa melalui sempadan sebelum Mac 2008. Kadarnya mencecah 5,000 hingga 6,000 yuan (RM2,535), hari ini permintaan bagi penyeludupan meningkat sehingga 15,000 yuan (RM7,024) dan lebih.

Seorang sami berusia 15 tahun bercerita dengan penuh semangat tentang keinginannya untuk pulang suatu hari nanti bagi membantu rakan senegaranya. Dia telah membayar 21,000 yuan (RM9,834). Dia tiba dua minggu lalu dan berkata, perjalanan mengambil masa selama tujuh hari dengan hanya berjalan pada waktu tengah malam.

Sekolah

"Mereka mengenakan tekanan di Tibet. Setiap kali kami keluar, polis China sentiasa memerhatikan kami, terutama sami-sami," katanya.

"Pada masa ini, situasi di dalam negara ini agak tegang. Saya telah berjaya melepaskan diri ke India untuk mendapat pendidikan keagamaan secara tradisional."

Di McLeod Ganj juga terdapat sebuah lembah curam yang menempatkan sekolah. Terdapat kira-kira 2,000 pelajar daripada pelbagai peringkat usia belajar di situ. Mereka turut bermain bola keranjang dan mempelajari opera tradisional Tibet.

Walaupun terdapat bukti sukan kegemaran masyarakat Amerika di situ, kokurikulumnya disesuaikan untuk menanamkan rasa kebangsaan di kalangan generasi muda Tibet dengan penekanan pada sejarah budaya dan bahasa yang unik.


GELOMBANG penunjuk perasaan menentang pemerintahan China mencatatkan angka korban.


Pemandangan Tibet sememangnya amat menakjubkan. Dengan ketinggian puncak Himalaya yang diliputi di belakangnya dan batu dari bukit-bukit di hadapan memberikan laluan ke dataran yang luas dibakar cahaya matahari.

"Jumlah mereka yang menyertai kami dari Tibet berkurangan atas sebab-sebab yang diketahui," kata seorang pengarah sekolah, Phustsok Namgyal.

"Sebelum ini, terdapat sekitar 700 hingga 800 pelajar menyertai sekolah ini setiap tahun. Sejak tahun 2008, jumlahnya menunjukkan penurunan mendadak.

"Bilangan kanak-kanak yang berhijrah ke India semakin berkurangan dan ia nampak ketara."

Lelaki itu menganggarkan hanya terdapat 250 kanak-kanak yang mendaftar di sekolah berkenaan dalam tempoh 18 bulan lalu. Ia satu petanda yang mengancam untuk gerakan yang dilakukan untuk melindungi budaya Tibet dan berjuang untuk kemerdekaan Tibet atau autonomi di bawah pemerintahan China.

Kebanyakan perintis di sekolah itu yang tiba sekitar tahun 1959 kini melepasi usia persaraan dan seperti Dalai Lama, suatu hari nanti akan meninggal dunia.

"Ini merupakan masalah serius kepada kita semua," kata Namgyal. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1217&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...