Friday, December 17, 2010

Getah cecah harga tertinggi RM14.13




KUALA LUMPUR – Berita baik buat penoreh getah apabila harga komoditi itu mencecah RM14.13 sekilogram!

Peningkatan harga getah secara konsisten sehingga mencatat paras tertinggi dalam tempoh 60 tahun dijangka menarik perhatian orang ramai menoreh getah secara sambilan untuk menambah pendapatan

Pengerusi Risda, Tan Sri Rahim Tamby Chik (gambar) berkata, kenaikan itu dijangka kekal sehingga pertengahan tahun depan dan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Beliau berkata, peningkatan harga itu berlaku disebabkan permintaan tinggi ekoran pertukaran cuaca dan musim yang menjejaskan pengeluaran getah di negara pengeluar yang lain seperti China, Thailand dan Vietnam.

Justeru, beliau meminta golongan penoreh getah di seluruh negara mengambil kesempatan itu dengan meningkatkan produktiviti mereka bagi mendapat keuntungan lebih lumayan.

”Ini merupakan harga tertinggi sejak Risda ditubuhkan pada tahun 1953. Ambil peluang ini dengan mengaut keuntungan bagi kegunaan pada masa hadapan seperti membeli baja dan sebagainya.

”Kalau dahulu pekebun biasa menoreh getah di sebelah pagi sahaja, kini mereka digalakkan untuk menoreh di sebelah petang bagi mengoptimumkan hasil mereka,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Penasihat Gagasan Ekonomi Melayu (Gabem) Kali Kedua di Hotel Impiana di sini, semalam.

Menurutnya, harga getah pada pasaran dunia hari ini telah mencatatkan satu sejarah baru kerana telah mencecah RM14 sekilogram berbanding hanya RM4 pada lima tahun lalu.

Dalam pada itu, Rahim meminta penoreh getah di negara ini agar tidak menjual hasil getah kepada orang tengah kerana harga yang ditawarkan biasanya lebih rendah daripada harga yang ditawarkan Risda.

Katanya, orang tengah biasanya mempunyai banyak alasan seperti terlalu banyak air di dalam susu getah dan lain-lain aduan bertujuan merendahkan harga tawaran demi kepentingan mereka.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8529697.asp

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...