Friday, January 28, 2011

Aktivis ikrar terus bantah

KAHERAH: Aktivis prodemokrasi semalam berikrar akan melakukan demonstrasi antikerajaan yang terbesar di Mesir dalam tempoh tiga tahun walaupun berdepan penangkapan secara beramai-ramai dan kawalan ketat pihak berkuasa berikutan insiden rusuhan dua hari di jalanan.

Demonstrasi bantahan terhadap pemerintahan autokratik pimpinan Presiden Hosni Mubarak (gambar) yang tercetus disemarakkan oleh Revolusi Jasmine di Tunisia, telah merebak di seluruh negara hingga mendorong Washington memberi peringatan kepada sekutu lamanya itu untuk melakukan pembaharuan secara demokrasi.


Anggota kumpulan belia Gerakan 6 April yang prodemokrasi berkata, akan berhimpun di jalan raya bagi mengajak orang ramai menyertai demonstrasi secara besar-besaran yang akan diadakan selepas solat Jumaat, esok (hari ini).

“Khamis bukan hari cuti dan demonstrasi jalanan akan berterusan,” kata kumpulan itu dalam laman Facebook.


“Kami sudah bermula dan tidak akan berhenti,” kata seorang penunjuk perasaan walaupun polis rusuhan berkawal di tengah-tengah bandaraya Kaherah.


“Bagi meneruskan apa yang sudah dimulai pada 25 Januari lalu, kami akan berhimpun di jalan raya untuk menuntut hak dalam kehidupan, kebebasan, maruah dan kami mengajak semua orang menyertai kami...dan terus melakukan demonstrasi hingga tuntutan rakyat Mesir dipenuhi,” kata kumpulan itu.

Menurut sumber rasmi pihak keselamatan, sekurang-kurangnya 1,000 orang sudah ditahan di seluruh negara sejak demonstrasi bantahan bermula Selasa lalu.


Pasukan paramedik pula melaporkan enam orang maut iaitu empat orang awam dan dua anggota polis ekoran kejadian itu manakala 55 penunjuk perasaan serta 15 polis cedera. - AFP

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aktivisikrarterusbantah/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...