SANAA (YEMEN): Beribu rakyat Yemen yang mendapat inspirasi daripada pergolakan politik yang sedang melanda dua negara Arab yang lain iaitu Tunisia dan Mesir, telah mengadakan perarakan secara besar-besaran menuntut agar presiden mereka, Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan dengan segera.
Ali Abdullah berada di tampuk kekuasaan sejak tahun 1978.
"Cukuplah berada di tampuk kekuasaan selama lebih 30 tahun," jerit mereka yang berarak.
Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ali yang terpaksa 'turun takhta' minggu lalu telah memerintah negara itu selama lebih 20 tahun.
Bagaimanapun Menteri Dalam Negeri Yemen, Motahar Rashad al-Masri menolak kemungkinan presidennya akan mengalami nasib yang sama sepertimana presiden Tunisia.
"Yemen bukanlah Tunisia kerana Yemen adalah sebuah negara yang demokratik sebab itulah rakyat boleh berarak membantah tetapi mereka melakukannya secara aman," katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita AFP.
Sabtu lalu, para pelajar Universiti Sanaa mengadakan protes di dalam kampus menuntut supaya Saleh meletak jawatan.
Satu deraf rang undang-undang untuk meminda perlembagaan yang kini sedang dibahas di parlimen bertujuan untuk memasukkan klausa bagi membolehkan Saleh menjadi presiden seumur hidup telah mendapat protes daripada pihak pembangkang.
No comments:
Post a Comment