Friday, January 28, 2011

Toyota tarik balik 1.7 juta kenderaan


SEORANG pelanggan melihat kereta Isis di sebuah bilik pameran di Tokyo, Jepun semalam.


TOKYO - Pembuat kereta terkemuka, Toyota menarik balik hampir 1.7 unit kenderaannya di seluruh dunia, sekali gus memburukkan lagi reputasinya di pasaran Amerika Syarikat (AS) yang sebelum ini berdepan dengan masalah sama.

Menurut Toyota, tiada kemalangan disyaki berlaku berkaitan penarikan terbaru itu.

Namun, ia menerima 77 aduan di luar negara dengan 75 dari Amerika Utara dan lebih 140 aduan lagi di Jepun.

Salah satu masalah yang diumumkan semalam adalah pemasangan tidak kemas satu alat pengesan yang berperanan mengukur tekanan bahan api.

Ia boleh menyebabkan alat pengesan itu menjadi longgar akibat getaran enjin dan mengakibatkan kebocoran minyak.

Masalah itu melibatkan 280,000 unit kereta Lexus di Amerika Utara dan Eropah.

Ia turut meliputi model Lexus GS300/350 keluaran tahun 2006 dan 2007, model Lexus IS250 (tahun 2006 hingga 2009) serta Lexus IS350 (tahun 2006 hingga awal 2008) yang dijual di AS.

Masalah sama juga melanda model Crown dan Marx X yang dijual di Jepun.

Masalah kedua melibatkan 141,000 unit model sedan Avensis dan model station wagon yang dijual di Eropah dan New Zealand.

Ia disebabkan oleh masalah pada paip bahan api yang boleh menyebabkan berlakunya keretakan dan kebocoran.

Di Jepun, syarikat itu akan menarik 19 model seperti Noah, Voxy, Caldina dan Isis yang dikeluarkan di antara tahun 2000 dan 2009.

Selain itu, Toyota juga menarik balik 6,000 trak yang dihasilkan oleh Daihatsu Motor Co. dan dijual di bawah jenama Toyota di Jepun. Kenderaan tersebut mengalami masalah pada besi yang melekatkan tayar simpanan dengan bahagian bawah trak. Tayar itu boleh menjadi longgar dan jatuh ke tanah.

Pada lewat tahun 2009, masalah pedal minyak yang terlekat pada karpet lantai memaksa lebih 12 juta kenderaan yang kebanyakannya di pasaran Amerika Utara ditarik semula. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0127&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...