Friday, January 28, 2011

Semangat Hata berkobar walaupun sedang dirawat

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jan: Walaupun berdepan dengan pelbagai ujian, Presiden Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ), Mohamad Hata Wahiri masih bersemangat waja untuk memperjuangkan kebebasan media.

"Saya tidak ada niat politik ketika memperjuangkan isu kebebasan di Utusan. Saya mahu selamatkan Utusan yang dari sejarah memang akhbar milik orang Melayu bukannya milik Umno," kata Hata Wahiri kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

(GAMBAR: Mustafa bercakap dengan Presiden NUJ, Hata Wahiri, dikatil Hospital Pusrawi tengahari tadi)

Mustafa mengunjungi Hata yang kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi, Jalan Tun Razak tengahari tadi.

Hata, seorang wartawan Utusan masuk ke hospital itu pagi 25 Januari lalu selepas sakit dada ketika sedang memandu dari rumah ke pejabatnya di Utusan Melayu.

Hari itu, Hata sepatutnya menghadiri Siasatan Dalam yang dibuat oleh majikannya, Utusan Melayu ke atas beliau. Kerana masalah kesihatannya itu, Siasatan Dalaman itu ditangguhkan. Ini adalah kali kedua ia ditangguh.

Beliau kini sedang digantung pekerjaan oleh Utusan ekoran pandangannya yang meminta Utusan berubah dari pendekatannya sekarang yang terlalu menjadi alat politik Umno.

Ketika ditanya oleh Mustafa, apakah beliau menerima gaji ketika digantung, Hata berkata, dia sendiri tidak tahu.

"Saya sedang tunggu gaji bulan ini. Kalau ada, maknanya gantung dengan gaji jalan," kata Hata.

Menurut Hata, ekoran pendekatan Utusan sekarang menyebabkan jualan akhbar itu terjejas teruk dan beliau sebagai pekerja bimbang Utusan tidak akan bertahan lama dan akan menjejaskan semua pekerjanya.


Menurut Hata, Utusan mula berubah dengan mendadak selepas pilihan raya umum 2008 terutama selepas pentadbiran negara diambil alih oleh Datuk Seri Najib Razak.

"Tahun 2011 ini adalah ulang tahun ke 50 sejarah mogok yang pernah dilancarkan oleh para pekerjanya 50 tahun lalu kerana membantah pengambilialihan Utusan oleh Umno," kata Hata.

Pihaknya, kata Hata, sedang merangka program khas untuk memperingati sejarah perjuangan para pekerja Utusan dahulu itu.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30575:semangat-hata-berkobar-walaupun-sedang-dirawat&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...