Friday, January 28, 2011

Pengurus Felda akui perjanjian serah ladang oleh peneroka longgar

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH, 27 Jan: Perjanjian penyerahan ladang di antara peneroka dengan Felda untuk diuruskan oleh Felda Plantations sangat longgar kerana tandatangan kedua pihak tanpa saksi, tidak dimati setem dan tiada tarikh tamat.

Peguam Ahmad Nizam Hamid berkata, ini diakui sendiri oleh seorang pengurus rancangan Felda dalam perbicaraan di Mahkamah Magistret Temerloh hari ini.

Pengurus Felda Gua Musang, Sazali Abdul Hamid dalam pengakuannya sebagai saksi kepada kes Roslan Mohd Nor dari Felda Bukit Mendi, juga mengakui tidak ada terma pemilikan Felda ke atas tanah peneroka dalam perjanjian tersebut.

Ahmad Nizam adalah peguam bela kepada Roslan.

“Kes hari ini ialah anak guam saya Roslan Mohd Nor yang ditangkap oleh Pengurus Felda Technoplant dan anggota Rela kerana dituduh mencuri 35 tandan buah kelapa sawit di atas tanah lot bapanya (yang sudah meninggal) sendiri Mohd Nor@Abu Bakar Sulaiman pada 2009.

“Beliau dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama dua tahun atau didenda,” katanya.

Turut dipanggil menjadi saksi hari ini ialah Ketua Balai Polis Mengkuang Sarjan Mejar Ahmad, Pengurus Felda Technoplant Bukit Mendi Saleh Samigun dan anggota sukarelawan rakyat (Rela) Hanapi Dolah juga dari Bukit Mendi.

Sazali ialah bekas Pengurus Felda Bukit Mendi yang menandatangan bagi pihak Felda bersama pemilik tanah Mohd Nor@Abu Bakar Sulaiman pada tahun 2005.

Sazali juga mengakui, borang yang ditandatangan beliau bersama Mohd Nor adalah bermaksud tuan milik tanah berkenaan menyerahkan ladang kepada Felda adalah untuk tujuan pemulihan tanah dan bukan diserahkan hak miliknya kepada badan tersebut.

Selain daripada itu, Sazali akur keingkaran salah satu pihak (Felda atau peneroka) mematuhi perjanjian 22 perkara itu boleh membatalkan perjanjian.

Sementara itu, menurut Roslan, pada 25 Mei 2009 ketika beliau bersama buruh memasukkan beberapa tandan buah sawit ke dalam sebuah lori pikap di ladang milik ayahnya, beliau telah ditangkap.

“Saya telah tunjukkan surat amaran daripada Pejabat Tanah Bera bahawa cukai tanah ladang itu telah tertunggak sebanyak RM3,000 tidak dibayar oleh Felda. Sedangkan bicara kuasa tidak boleh dijalankan sebab banyak cukai tertunggak.

“Malangnya penjelasan saya tidak diterima malah saya bersama pemandu lori dibawa ke balai polis, digari dan dihantar ke lokap Triang,” katanya.

Menurut Roslan, ladang ayahnya pada tahun 2000 telah diserahkan kepada Felda untuk urusan tanam semula. Namun begitu pada 2005 oleh kerana tiada penyata dan kira-kira hasil yang diberikan oleh Felda, beliau telah minta ayahnya ambil balik untuk diusahakan sendiri.

Bagaimanapun, tambah Roslan, dua bulan sebelum meninggal (4 Julai 2005), ayahnya telah menyerahkan semula pengurusan ladang kepada Felda.

Apabila beliau bersama keluarga mahu mengambil semula pengurusan ladang daripada Felda Technoplant pada 3 September 2007 kerana tidak puas hati dengan hasil yang diterima, beliau telah diarahkan untuk membayar sebanyak RM34,719.90.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30583:pengurus-felda-akui-perjanjian-serah-ladang-oleh-peneroka-longgar&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...