Updated: Khamis Januari 27, 2011 MYT 5:20:36 PM
KUALA LUMPUR: Novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
"Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.
Muhyiddin berkata panel itu akan dianggotai pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India.
"Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat," katanya.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.
Sementara pindaan itu disiapkan, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.
"Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini," katanya.
BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH YANG DIKELUARKAN OLEH PEJABAT TIMBALAN PERDANA MENTERI:
Saya telah mengadakan perbincangan dengan Y.B Senator Dato' G. Palanivel, Presiden MIC dan Y.B Dato' S. Subramaniam, Timbalan Presiden MIC semalam mengenai isu penggunaan novel Interlok sebagai teks komponen sastera (KOMSAS)bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5.
Pagi ini, saya, Y.B. Senator Dato' G. Palanivel dan Y.B Dato' S.Subramaniam telah mengadakan perbincangan dengan YAB Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini.
Dalam semangat muafakat Barisan Nasional, kita telah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan 5 di Zon 2, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan.
Namun, mengambil kira pandangan MIC, kita juga telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.
Untuk itu, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.
Panel ini akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India. Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat.
Sementara pindaan ini disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.
Novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah. Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini.
Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambilkira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik.
Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya.
TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN HAJI MOHD. YASSIN
27 Januari 2011
http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/1/27/mstar_berita/20110127160439&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment