Friday, January 28, 2011

Bicara kes bunuh Sosilawati tangguh 24 Februari

Jan 27, 11 1:17pm

Mahkamah Majistret Telok Datok di Banting hari ini menetapkan 24 Feb depan untuk sebutan semula kes bekas peguam, N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya yang didakwa membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain pada Ogos tahun lalu.

NONEMajistret Hurman Hussain menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan meminta penangguhan sementara menunggu keputusan rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kes dua lagi pekerja Pathmanabhan, K Sarawanan dan U Suresh yang dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana melupuskan mayat keempat-empat mangsa.

Pada 13 Okt tahun lalu, Pathmanabhan, 41, dan tiga pekerja ladang, T Thilaiyagan, 19, R Matan, 20, dan R Khatavarayan, 30, dituduh membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohammad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot No 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di Banting pada 30 Ogos tahun lalu.

NONEPada 15 Okt tahun lalu, Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, mengaku bersalah di mahkamah yang sama berhubung dakwaan menghilangkan bukti dengan membakar mayat keempat-empat mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat di Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam 30 Ogos lalu.

Terdahulu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili semua tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan kes itu daripada pihak pendakwaan.

Justeru beliau meminta jaminan agar pihak pendakwaan menyerahkan kepada mereka dokumen berkenaan pada Isnin ini ketika pendengaran rayuan dan semakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sosilawati Lawiya police search afp 3Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff yang mengendalikan pendakwaan berkata pihaknya akan menyerahkan sebahagian dokumen berkenaan seperti yang diminta oleh pihak pembelaan.

Hurman kemudian berkata beliau tidak ada alasan lagi untuk menangguhkan kes itu dan bercadang untuk memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amer Hamzah berkata beliau juga ingin agar kes itu dipindah ke mahkamah tinggi tetapi peruntukan undang-undang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian memandangkan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan surat izin untuk memindahkan kes kepada mahkamah.

Sosilawati Lawiya police search afp 2"Saya tahu tuan amat kecewa," kata Amer Hamzah dan Hurman menjawab: "Saya tidak kecewa tetapi tidak gembira."

Peguam Pushpa Ratnam yang juga mewakili kesemua tertuduh pula memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima salinan laporan polis yang dibuat oleh anak guamnya, Khatavarayan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.

"Kami juga baru dimaklumkan oleh Thilaiyagan dan Matan bahawa mereka telah dipukul dalam penjara. Kami telah maklumkan kepada pihak penjara bahawa anak guam ingin membuat laporan polis," katanya.

Hurman kemudian menetapkan 24 Feb depan untuk sebutan semula kes dan meminta agar pihak Jabatan Peguam Negara membantu menyelesaikan isu itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154627

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...