Saturday, January 29, 2011

Bonus 5.5%

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my

KOMPETITIF...Abi Musa (kanan) dan Ismee menunjukkan  angka bonus pendeposit TH 2010, semalam.
KOMPETITIF...Abi Musa (kanan) dan Ismee menunjukkan angka bonus pendeposit TH 2010, semalam.

LEMBAGA Tabung Haji (TH) mengumumkan pembayaran bonus pendeposit selepas zakat sebanyak 5.5 peratus membabitkan pembayaran sebanyak RM1.33 bilion bagi tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor berkata, jumlah bayaran itu melonjak 24 peratus berbanding RM1.07 bilion pada 2009.


Katanya, sungguhpun profil pelaburan TH hanya terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah, kadar deposit yang diberikan boleh disifatkan sangat kompetitif.

“Tahun lalu, TH membuat pembayaran bonus selepas pengiraan zakat sebanyak lima peratus bagi keuntungan 2009 dan untuk 2010, TH menambah bayaran bonus sebanyak 0.5 peratus lagi.


“Jika dibandingkan kadar pulangan daripada akaun deposit tetap perbankan Islam, TH masih menawarkan pulangan lebih menarik,” katanya ketika mengumumkan bonus pendeposit TH 2010 di Kuala Lumpur, semalam.


Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail.

Mengulas lanjut, Abi Musa berkata, TH meneruskan kecemerlangan prestasi kewangan sangat membanggakan pada 2010 apabila mencatat keuntungan selepas zakat melebihi RM1 bilion bagi empat tahun berturut-turut.


“TH sekali lagi mencatat sejarah apabila meraih pendapatan melebihi RM2 bilion tahun lalu, meningkat sebanyak 17 peratus atau RM305 juta yang dicatat pada 2009.

“Pendapatan TH sejak 2006 berkembang sejajar dengan pertumbuhan saiz dana pendeposit,” katanya.


Beliau berkata, peningkatan pendapatan itu sebahagian besarnya disumbangkan sumber utama membabitkan pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 65 peratus.


“Sebanyak 19 peratus adalah pendapatan dividen dan 46 peratus keuntungan urusniaga saham. Penyumbang kedua terbesar diperoleh hasil pelaburan sekuriti hutang terutama bon Islam sebanyak 10 peratus,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bonus5_5_/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...