Saturday, January 29, 2011

Filem Mandarin, Kantonis, Tamil kini 'filem tempatan'

Filem Mandarin, Kantonis, Tamil kini 'filem tempatan'
Jan 29, 11 8:42pm

Semua filem keluaran Malaysia sama ada dalam bahasa Mandarin, Kantonis atau Tamil yang disertai sarikata Bahasa Malaysia kini diiktiraf sebagai filem tempatan, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim.

ice kacang puppy love, local filmBeliau memberi contoh filem ”Ice Kacang Puppy Love” (Cinta Ais Kacang), arahan Tan Kheng Seong atau lebih popular dengan panggilan Ah Niu, telah pun diklasifikasikan sebagai filem tempatan.

"Saya membuat keputusan itu bersama jawatankuasa saya dan saya telah pun memaklumkan kepada Kabinet mengenai keputusan itu.

"Sehubungan itu, jika filem berkenaan mencapai box office dan membuat keuntungan, mereka akan diberi rebet cukai hiburan,” katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Terdapat laporan sebelum ini yang menyebut filem Cina keluaran tempatan, ”Ice Kacang Puppy Love,” yang meraih RM4 juta, tidak layak mendapat rebet cukai 25 peratus memandangkan ia diklasifikasikan sebagai filem asing.

Turut dilaporkan bahawa filem itu tidak mematuhi peruntukan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang menyatakan bahawa filem tempatan mesti mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus dialog dalam Bahasa Malaysia untuk memenuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapat rebet itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/154862

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...