shamsulmunir@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Seorang ibu tunggal beranak enam yang pernah bekerja sebagai pemandu bas kini tidak mampu lagi melakukan tugas itu selepas hilang keupayaan akibat terbabit dalam kemalangan enam bulan lalu dan pada masa sama terpaksa menyara empat lagi anaknya yang masih belajar tanpa sebarang pendapatan.
Latifah Mohd Yusoff, 48, berkata kini dia masih trauma akibat kecederaan parah yang dialaminya itu selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tanah ketika menaiki sebuah bas ke Banting pada Jun tahun lalu.
Dia koma selama empat bulan di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang selepas cedera parah di kepala, badan dan kaki.
Katanya, selepas kejadian itu, dia terpaksa mengambil cuti sakit dan sehingga kini, dia masih belum boleh menulis apatah lagi memandu kerana mengalami kecederaan parah pada saraf otak.
“Saya tidak dapat menulis dan membuat kerja berat apatah lagi untuk kembali bekerja sebagai pemandu bas.
“Kini saya terpaksa bergantung kepada pendapatan yang tidak seberapa daripada dua anak saya yang tinggal di Johor, jurang jarak itu membataskan mereka untuk membantu saya di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Damansara Damai.
Menurutnya, sebelum ini, dia pernah mendapat wang ihsan rakannya dan bayaran dua bulan gaji daripada majikannya.
Katanya, dia baru empat bulan bekerja di syarikat pengangkutan awam itu dan ketika kemalangan, dia masih dalam tempoh percubaan.
Latifah berkata, sejak dibenarkan keluar dari hospital, dia juga terpaksa berulang alik ke HTAR menggunakan teksi kerana tiada kenderaan, malah perlu mengeluarkan modal untuk rawatan.
Menurutnya, jika sebelum ini gajinya sebanyak RM700 pun belum cukup menyara keluarganya, bayangkan apabila kini dia tiada pendapatan bagi menyara anak dan yuran persekolahan mereka.
Latifah berkata, dia masih belum berhenti dari bekerja sebagai pemandu bas dan dalam tempoh cuti. Jika keadaan masih tidak berubah, dia terpaksa berhenti kerja.
“Anak kelima dan keenam saya kini bersekolah di tingkatan tiga dan tahun tiga, mereka terpaksa bergantung kepada wang zakat sebanyak RM300 serta bantuan daripada kakak dan abang untuk terus bersekolah.
“Selain belanja persekolahan mereka, wang berkenaan juga terpaksa digunakan bagi membeli barangan harian,” katanya.
Latifah berkata, dalam keadaan yang masih belum sembuh ini juga dia terpaksa berulang alik ke Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan proses perceraian dengan suami keduanya.
Sementara itu, Pengarah Kumpulan, Divisyen Bas, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata Latifah adalah kakitangan pelatih pemandu bas syarikat berkenaan dan dalam tempoh percubaan ketika kemalangan berkenaan.
“Pada 7 Jun 2010, dia terbabit dalam satu kemalangan dan melantik seorang peguam untuk membuat tuntutan bagi pihaknya.
“Untuk makluman, pekerja syarikat ini hanya layak mempunyai insurans apabila mereka diserap bekerja ke dalam syarikat, setelah lulus segala peperiksaan dalam tempoh percubaan itu,” katanya ketika dihubungi di sini.
Namun, katanya, pihaknya sudah menghulurkan beberapa bentuk bantuan lain bagi meringankan bebannya, malah Latifah juga sudah ditawarkan pekerjaan di pejabat jika dia tidak lagi dapat memandu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sengsaraibutunggalenamanak/Article/index_html
No comments:
Post a Comment