BANDUNG: Semua 462 pelajar Malaysia yang menuntut di Malang dan Surabaya, Jawa Timur tidak terjejas oleh beberapa kejadian letusan Gunung Bromo sejak 29 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata, sungguhpun pelajar Malaysia tinggal jauh dari gunung berapi itu dan pihak berkuasa menurunkan status amaran Bromo daripada ‘Awas’ kepada ‘Siaga’, keadaan keselamatan mereka tetap dalam perhatian jabatan itu.
“Pihak kami sudah menghubungi Mohd Suhail Satri, Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) Cawangan Malang dan Muhammad Abu Bakar, Yang Dipertua PKPMI Cawangan Surabaya.
“Mereka menyatakan semua 205 pelajar Malaysia di Malang dan 257 di Surabaya selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Menurut Dr Junaidy, Gunung Bromo terletak 75 kilometer (km) atau empat jam perjalanan darat dari penempatan pelajar Malaysia di Malang dan 112km atau lima jam perjalanan darat dari penempatan pelajar Malaysia di Surabaya.
Sejak 29 Disember lalu hingga semalam, letusan Bromo mengeluarkan asap dan abu vulkanik dengan ketinggian antara 400 dan 800 meter ke arah timur dan timur laut. Aktivitinya belum menurun.
Media tempatan melaporkan radius wilayah yang terkena hujan abu dari Gunung Bromo, yang terletak di kota Probolinggo, Jawa Timur itu mencapai puluhan kilometer hingga ke kota Lumajang.
Bromo yang berketinggian 2,392 meter di atas permukaan laut itu adalah objek pelancongan masyhur di Jawa Timur. Ia terletak dalam empat wilayah, iaitu daerah Probolinggo, Pasuruan, Lumajang dan Malang.
Katanya, sebagai persiapan menghadapi kecemasan, jabatan itu menganjurkan kursus Pengurusan Krisis Bencana Alam kepada mahasiswa Malaysia di Malang dan Surabaya, Oktober lalu.
“Pelajar diarah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) Bencana Alam dan bersedia menyelamatkan diri ke tempat ditetapkan jika terdapat laporan letusan dan gempa susulan yang memberi impak ke atas keselamatan,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment