am@hmetero.com.my
BALING: Sepasang suami isteri terpaksa mengharapkan kudrat anak sulung mereka untuk keluar mencari rezeki setiap hari bagi menyara keluarga selepas pasangan itu diserang penyakit kencing manis dan lumpuh sejak empat tahun lalu.
Pasangan, Subri Hashim, 53, dan isterinya, Roziah Che Mat, 47, dari Kampung Padang Pulai, Mukim Teloi Kanan, Kuala Ketil, di sini, hanya terlantar di rumah apabila diserang penyakit kronik menyebabkan mereka hanya mampu mengengsot di dalam rumah saja.
Subri berkata, tanggungjawab mencari rezeki sekarang dipikul anak sulungnya, Mohd Nasaruddin, 19, dengan mengambil upah bekerja kampung untuk menyara keluarga.
Beliau berkata, anak sulungnya kini mengambil alih tugas ketua keluarga untuk menjaga mereka berdua termasuk dua lagi anaknya.
“Dialah yang menjadi penyambung harapan keluarga untuk mencari rezeki setiap hari supaya kami sekeluarga tidak berlapar.
“Mujurlah dia bertanggungjawab dan sanggup keluar awal pagi dan pulang lewat petang semata-mata untuk mencari sesuap nasi,” katanya.
Subri berkata, dia menghidap penyakit kencing manis sejak empat tahun lalu dan paling kritikal sejak tujuh bulan lalu apabila kaki kirinya semakin parah dan dinasihatkan doktor untuk dipotong bagi mengelakkan bertambah teruk.
“Bagaimanapun, sejak sebulan lalu, kaki kanan saya turut dijangkiti dan mengalami kesan luka menyebabkan saya tidak mampu berjalan dan hanya mengengsot dalam rumah saja,” katanya.
Katanya, dia terpaksa berulang alik ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil setiap hari untuk mencuci luka selain terpaksa meminta pertolongan adik iparnya, Norliza Abdul Razak, 32, untuk menghantarnya ke klinik.
Menurutnya, semua anaknya hanya belajar sehingga separuh jalan kerana terpaksa menjaga mereka berdua dengan anak sulungnya hanya belajar sehingga tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Ketil, Mohd Nazrul Amir, 17, hanya tamat tingkatan tiga di Sekolah Agama Diniah, Mukim Kupang dan Nurul Nadia, 16, belajar sehingga tingkatan dua di SMK Kuala Ketil.
Beliau berkata, akibat kemiskinan dan diserang penyakit kronik menyebabkan dia tidak mampu meneruskan persekolahan anak-anak kerana sebelumnya dia hanya mengambil upah menoreh getah.
Sementara itu, Roziah berkata, dia terlantar di tempat tidur sejak tiga tahun lalu kerana sebelah kiri badannya lumpuh, manakala kaki kanan luka akibat kencing manis.
“Saya berharap mendapat bantuan mana-mana pihak termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban selain menggunakan bantuan itu untuk kos rawatan dan membeli lampin pakai buang,” katanya.
Roziah berkata, dia sudah menghantar borang permohonan kepada JKM Baling, kelmarin selepas mendapat pengesahan kesihatan daripada doktor dan berharap mendapat perhatian daripada jabatan itu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaupayamengengsot/Article/index_html
No comments:
Post a Comment