Saturday, January 29, 2011

PAS doakan intifadah rakyat Mesir berjaya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Jan: “Kami mendoakan kejayaan intifadah rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini,” kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

PAS, tegasnya menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan.

Beliau berkata, rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, PAS mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, ujarnya umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

“PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau menambah, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

Menurutnya, penyelesaian terhadap kemelut itu boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihan raya yang telus di Mesir.

“Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini,” tambahnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau menegaskan, apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka, ujarnya pemerintahan BN perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

“Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri,” katanya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30617:pas-doakan-intifadah-rakyat-mesir-berjaya&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...