Mac 23, 11
6:57pm
Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini tampil membuat penjelasan mengenai akaun Yayasan Selangor yang dilaporkan mengalami defisit sehingga RM7.41 juta pada tahun lalu.
Khalid berkata, akaun yayasan itu berada dalam keadaan "mantap" dengan jumlah harta melebihi RM300 juta, selain lebihan dalam akaun sebanyak RM100 juta dan deposit tunai melebihi RM50 juta.
"Kalau orang kata yayasan akan bankrap, agak lama sedikit, sekurang-kurangnya 90 tahun lagi (sebelum bankrap).
"Ada sesetengah (orang) dia tak biasa mengira, dia tak pakai mesin kira, dia kira satu tahun saja.
"Saya tengok (ada) blogger takut Yayasan Selangor akan bankrap. Saya harap Yayasan Selangor akan hidup lebih lama daripada blogger ini," katanya lagi secara berseloroh.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas untuk menjelaskan isu berkenaan hari ini.
Jelasnya, defisit atau lebihan ke atas akaun berkenaan bukanlah perkara aneh dan ia tidak boleh dilihat untuk satu-satu masa sahaja.
Katanya, yayasan itu mencatat defisit sebanyak RM10 juta pada 2005, RM8.1 juta pada 2006 dan juga RM3.9 juta pada 2010.
Namun, yayasan itu juga mencatat lebihan sebanyak RM40.13 juta pada 2007, RM128 juta pada 2008, dan juga RM25.7 juta pada 2009.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa yayasan itu telahpun mengeluarkan penyata akaun sebelum tahun 2008.
Khalid menyifatkan pihak yang membuat dakwaan itu "tidak tahu proses dan peraturan mengeluarkan penyata kewangan bagi sebuah organisasi."
Jelasnya, yayasan itu tidak pernah mengeluarkan laporan kewangan yang disahkan sejak 2004.
Katanya, yayasan itu hanya diarahkan untuk menyediakan laporan kewangan selepas 2008 – bagi laporan kewangan untuk tahun-tahun yang tidak pernah dilaporkan selepas itu.
Khalid juga berkata, laporan untuk tahun 2005, 2006, 2007, 2008 dan 2009 hanya dikeluarkan pada tahun lalu.
Tambahnya, yayasan itu juga tidak pernah mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk meluluskan penyata kewangan berkenaan.
"Semua ini boleh disemak di Suruhanjaya Syarikat Malaysia," katanya lagi.
http://malaysiakini.com/news/159483
No comments:
Post a Comment