Mac 22, 11
4:42pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan itu sebagai “taktik kotor” yang bertujuan mengelirukan rakyat bahawa Anwar tidak bermoral.
"Dalam Islam ditekan jika menerima sebarang berita, hendaklah diselidiki dahulu berita itu," kata Abdul Hadi selepas mesyuarat Pakatan Rakyat di pejabat ketua pembangkang di bangunan Parlimen.
"Sekadar rakaman video tidak boleh dijadikan bahan bukti. Kena hadirkan empat orang saksi, siapa jurukameranya?
"Apakah peralatan (yang diguna), siapakah pelakon sebenar, dan penerbitnya? Adakah mereka mempunyai sifat bodoh atau bohong?
"Di mana video itu ditayangkan? Di hotel. Jadi itu hanya drama," katanya.
Kewibawaan dicurigai
Katanya terlalu banyak faktor untuk diambil kira dan kredibiliti individu di sebalik rakaman video berkenaan juga dicurigai.
Sehubungan itu, Abdul Hadi (kanan) berharap rakyat khususnya umat Islam tidak cepat percaya dengan fitnah sedemikian."Ini menunjukkan masih ada kekeliruan, yang akan merosakkan masyarakat disebabkan oleh perbuatan yang tidak bermaruah ini," katanya.
Katanya bahan rakaman seperti yang ditunjukkan kepada media tertentu itu tidak boleh dijadikan bukti untuk mendakwa seseorang.
"Sebagai orang Islam, tuduhan moral harus ditolak jika ada kekeliruan. Itu sebabnya dalam Islam, perlu ada empat saksi yang adil dan berhemah.
"Untuk menjadi perkara ini jadi bersih dan bermaruah, kita kembali ke mahkamah syariah dan laksanakan secara syariah yg menentukan bersumpah dgn syariah, bukan (melalui) media," kata Abdul Hadi.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula meminta rakyat Malaysia meluahkan rasa 'kemarahan dan membidas' dakwaan terbaru yang dilemparkan ke atas Anwar.
'Soal sumpah, mahkamah tentukan'
Katanya, politik di Malaysia kini memasuki tahap 'pembunuhan watak'.
Senada dengan Hadi, Lim juga mempersoalkan mengapa tayangan itu dibuat ketika DUN Sarawak dibubarkan dan turut mempertikaikan cara tayangan itu dilakukan.
“Isu ini bermotifkan politik bagi menentang Pakatan dan juga kerana menjelang pilihan raya Sarawak. Ia menunjukkan BN gusar kerana keputusan pilihan raya negeri akan mempunyai impak ke atas pilihan raya umum,” katanya.
Lim (kiri) berkata adalah jelas individu atau kumpulan tertentu berkenaan cuba memesongkan pendapat umum di Sarawak ke atas Pakatan.
Sementara itu, Anwar ketika menjawab pertanyaan wartawan sama ada beliau akan bersumpah bahawa beliau bukan individu dalam video itu atau tidak, hanya berkata mahkamah yang berhak menentukannya.
"Soal sumpah itu, mahkamah yang tentukan," jawabnya.
Turut hadir pada sidang media ini adalah naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, ketua pemuda DAP, Anthony Loke dan beberapa pemimpin lain.
No comments:
Post a Comment