Wednesday, March 23, 2011

Pelajar Cina dapat A+ dalam Tasawwur Islam

Mac 23, 11 3:18pm

Seorang pelajar berbangsa Cina mencatatkan sejarah tersendiri apabila memperoleh A+ bagi mata pelajaran Tasawwur Islam dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang keputusannya
diumumkan hari ini.


Wong Yujing, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, adalah antara 17 pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat 10A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur Islam.

"Mata pelajaran Tasawwur Islam saya ambil kerana minat dan ingin tahu mengenai agama Islam," kata anak sulung daripada tiga beradik ketika ditemui pemberita di sekolahnya di Kuala Terengganu hari ini.

Katanya beliau berminat mengikuti mata pelajaran tasawwur sejak di tingkatan empat lagi dan dia banyak dibantu oleh rakan-rakan Melayu yang mengikuti mata pelajaran itu.

Wong, dari Kampung Gong Badak berkata, beliau membaca buku teks mata pelajaran tasawwur dan cuba memahaminya dengan mendalam.

"Dalam buku teks semua ada tentang tasawwur dan kita kena rajin mentalaah. Begitu juga mata pelajaran lain, saya tekun mempelajarinya.

"Saya tidak suka tangguh buat kerja rumah. Saya akan pastikan kerja rumah siap seperti yang dijadualkan," kata Wong yang ingin melanjutkan pelajaran di bidang kejuruteraan di Amerika Syarikat atau England.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/159442

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...