Friday, June 17, 2011

Lelaki 4 Isteri Dihukum Penjara 18 Tahun

    Lelaki 4 Isteri Dihukum Penjara 18 Tahun Rogol Anak Jiran

    June 16, 2011

KUANTAN – Seorang buruh yang merogol anak jirannya yang berusia 11 tahun di dalam semak selepas menjemputnya pulang dari sekolah, hujung bulan lalu hari ini dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Erwan Hairuddin, 45, yang beristeri empat mengaku bersalah merogol kanak-kanak pada 26 Mei lalu selepas mengambil mangsa pulang dari sekolah.

Sehubungan itu, Hakim Noradidah Ahmad menjatuhkan hukuman berat tersebut setelah menyifatkan tertuduh amat berbahaya kepada masyarakat.

“Selepas dirogol mangsa diberi duit untuk tidak memberitahu kepada sesiapa mengenai kejadian itu. Tertuduh tidak layak diberi hukuman bagi tempoh pendek kerana berbahaya kepada masyarakat.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan sebatan tiga kali atas kesalahan itu. Kalau tidak berpuas hati dengan keputusan ini, boleh membuat rayuan di Mahkamah Tinggi dalam masa 10 hari,’’ kata beliau.

Erwan mengaku melakukan kesalahan itu terhadap anak jirannya di dalam semak berhampiran jambatan di Kampung Sri Damai di sini kira-kira pukul 1.30 petang, 26 Mei lalu selepas mengambil mangsa dari sekolahnya dengan menggunakan motosikal.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, ketika diberi peluang mengemukakan rayuan sebelum hukuman dijatuhkan, Erwan memohon hukuman ringan kerana terpaksa menanggung empat isteri dan 15 orang anak.

Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar yang mengendalikan pendakwaan pula memohon hukuman setimpal dikenakan kerana biarpun tertuduh mempunyai empat isteri tetapi masih menjadikan kanak-kanak sebagai tempat melepaskan nafsunya.


http://mynewshub.my/bm/2011/06/16/lelaki-4-isteri-dihukum-penjara-18-tahun-rogol-anak-jiran/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...