Friday, June 17, 2011

Saksi utama mengaku beri kenyataan bercanggah

Saksi utama mengaku beri kenyataan bercanggah
Hazlan Zakaria
Jun 15, 11
8:17pm

Pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni mengaku wujud perbezaan di antara kenyataannya pada 2009 dengan kenyataaannya pada 7 Jun lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

NONEShamsuddin meneruskan keterangannya hari ini - hari keenam
perbicaraan kes rasuah terhadap bekas menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Shamsuddin berkata terdapat tiga perbezaan: Pertama, dalam kenyataan sebelumnya, dia mengatakan rumah tersebut tidak dijual di bawah harga pasaran, tetapi sekarang dia mengatakan ianya dijual di bawah harga pasaran.

Kedua, katanya, dalam kenyataannya sebelum ini, dia mengatakan (pereka laman) Nasir Ismail dilantik olehnya dan dalam keterangan terbarunya, dia mengatakan Nasir dilantik oleh Khir.

Ketiga, kata Shamsuddin, sebelum ini dia berkata dia menjual rumahnya untuk menutup kerugiannya, dan sekarang dia mengatakan itu tidak benar dan dia menjual rumah tersebut kerana tidak ada pilihan.

khir toyo mansion 060709Bagaimanapun, Shamsuddin gagal menghuraikannya ketika DPP Abdul Wahab Muhammad bertanya mengapa berlaku perbezaan seperti itu.

Katanya, kenyataan terbarunya adalah sama seperti keterangannya di mahkamah dan menegaskan bahawa itulah yang betul.

Perbezaan kenyataan Shamsuddin itu berlaku hanya sehari selepas dua tuduhan terhadapnya digugurkan pada hari pertama perbicaraan pada 6 Jun lalu.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Shamsuddin memberitahu Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini bahawa dia membeli dua lot tanah dan sebuah banglo di Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam dengan harapan Dr Mohd Khir Toyo akan membeli semula hartanah itu pada masa hadapan.

Shamsuddin, yang memiliki beberapa syarikat berkaitan pembinaan dan pembangunan hartanah, berkata dia tidak melihat apa-apa peluang perniagaan di Selangor ketika membeli hartanah tersebut dari pemilik asal Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Berhad, Saiful Aznir Shahabudin pada Disember 2004.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata semasa pertemuannya dengan kawan ayah Saiful Aznir ketika itu (Datuk Sumadi Ismail) di rumah Saiful Aznir pada 2004, Sumadi memberitahu kepadanya (Shamsuddin) bahawa Dr Mohd Khir turut berminat dengan rumah itu.

"Setelah saya diberitahu oleh Sumadi pada pertemuan kali pertama dengannya pada 2004 bahawa Dr Khir turut berminat membeli rumah itu dan pernah melawat rumah itu sebelum saya lawat, saya tidak lihat keinginan (Dr Khir) untuk beli rumah itu sebagai satu opportunity bagi saya (dari segi perniagaan).

"Saya lawat rumah itu dengan own interest dan tidak tahu bahawa Dr Khir berminat atas rumah itu sebelum saya melawat rumah itu bersama Sumadi," katanya ketika disoal balas oleh peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Dr Mohd Khir.

Shamsuddin turut menafikan dakwaan bahawa beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk menghubungi Dr Mohd Khir untuk berbincang mengenai hartanah tersebut, selain tidak melihat perkara itu sebagai satu 'peluang' kepadanya untuk memberi pertolongan kepada Dr Mohd Khir.

Beliau memberi keterangan pada hari keenam perbicaraan kes terhadap Dr Mohd Khir yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas Sdn. Bhd. (Ditamas) melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohd Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai menteri besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga ADUN Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di Shah Alam pada 29 Mei 2007.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 6 Jun lalu, melepas dan membebaskan Shamsuddin daripada tuduhan bersubahat dengan Dr Mohamad Khir berhubung tuduhan tersebut.

Ketika diminta Kamarul menerangkan bagaimana Dr Mohamad Khir 'menyuruhnya' (Shamsuddin) membeli dua lot tanah berkenaan pada Disember 2004 daripada Saiful Aznir, beliau berkata:

"Saya tidak ingat perkataan sebenar yang digunakan. Ia adalah cakap mulut.

"Bila Datuk Sumadi Ismail (seorang ahli perniagaan yang memberitahu mengenai hartanah tersebut) tidak boleh membeli, Mohd Khir kata pada saya 'Din, you (kamu) ajelah'. Perkataan 'suruh' tidak keluar, tetapi matanya, bahasa badannya kita kena baca. Itu bahasa orang berniaga."

Shamsuddin turut bersetuju dengan cadangan Kamarul Hisham bahawa beliau membeli hartanah tersebut dengan risiko bahawa Dr Mohd Khir berkemungkinan tidak mahu membeli rumah tersebut daripadanya.

Beliau sebelum ini berkata terpaksa membeli hartanah itu dari Saiful Aznir dengan harga RM6.5 juta, pada Disember 2004 setelah disuruh Dr Mohd Khir berbuat demikian.

Sementara itu, Shamsuddin memberitahu mahkamah bahawa terdapat beberapa percanggahan dalam keterangannya yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kali pertama pada 2009 dan pada sehari selepas beliau dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat iaitu pada 7 Jun lepas.

"Pada keterangan saya kepada SPRM pada 2009, saya menafikan bahawa hartanah melibatkan dua lot tanah dan sebuah banglo dijual kepada Mohamad Khir pada harga yang rendah daripada nilai pasaran, tetapi berkata sebaliknya pada 7 Jun.

"Saya juga pernah berkata saya melantik pereka laman, Nasir Ismail, 55, untuk melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada banglo tersebut, walhal keterangan terbaru mengatakan Nasir (yang telah melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dengan berkonsepkan Bali pada harga RM6 juta) dilantik oleh Mohamad Khir," katanya.

Shamsuddin berkata apa yang dikatakannya pada SPRM 7 Jun lepas adalah sama dengan keterangan yang diberikan di mahkamah hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bersambung esok.


http://malaysiakini.com/news/167052

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...